PEMANGKU Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, Islam adalah agama fitrah yang memberikan keadilan kepada semua golongan manusia.
Titah Baginda, ia adalah agama dan cara hidup yang telah ditentukan oleh Allah SWT dalam memastikan kehidupan manusia berada dalam keadaan yang harmoni, teratur dan aman sejahtera tanpa sebarang penindasan.
“Dalam sejarah manusia, telah terbukti bahawa kehadiran Islam telah mengangkat darjat wanita yang sebelumnya telah dipinggirkan serta berlaku diskriminasi dan penindasan tetapi Islam meletakkan wanita pada tempat yang tinggi,” titah Baginda.
Pemangku Raja Perlis bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Webinar Wanita Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri Perlis berjudul “Ketokohan Wanita Melalui Pedoman Al Quran dan As Sunnah”.
Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Penasihat DiRaja YTF bertitah, penganjuran majlis secara maya kali ini diharap mampu memberikan gambaran yang lebih jelas tentang peranan wanita dalam Islam melalui pedoman AlQuran dan As Sunnah.
Pada masa yang sama Baginda berharap supaya webinar YTF pada kali ini juga mampu mengikis sebarang salah faham atau tohmahan segelintir pihak yang berpandangan bahawa Islam telah menyekat kebebasan dan memberi penindasan terhadap wanita sedangkan martabat dan kemuliaan wanita itu adalah tinggi di dalam agama.
Justeru, Baginda juga berharap supaya pelbagai manfaat ilmu dan faedah dapat diperoleh oleh para peserta sepanjang webinar ini.
Di akhir program pada sebelah tengaharinya pula sesi penutupan webinar telah disempurnakan oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pengerusi YTF. – SM
BACA Kenaikan harga lembu tidak halang umat Islam jalani ibadah korban
BACA Wanita Kelantan bukan Islam didenda kerana memakai seluar pendek