
ISE, inspiring souls exhibition raikan warisan seni di UPSI
PAMERAN berprestij ISE: Inspiring Souls Exhibition yang berlangsung di Galeri Seni, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah dirasmikan oleh pengarah filem tersohor Malaysia, (Dr.) U-Wei Haji Saari pada 26 Februari lalu.
Pameran ini, yang diadakan dari 15 Januari hingga 26 Februari 2025, merupakan inisiatif Institut Peradaban Melayu (IPM) dengan kerjasama Alumni ITM Seni & Rekabentuk Batch 1994-1997.
Menurut Pengarah IPM, Prof. Dr. Tajul Shuhaizam Mohd Said, program ini dianjurkan bersempena Majlis Syarahan Budiman bertajuk “Tembikar Tradisi Refleksi Budaya Tinggi Watan” yang beliau sampaikan di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah. Pameran ini juga merupakan satu penghormatan dan penghargaan kepada arwah Roslizam @ISE, seorang alumni ITM serta penggiat seni halus.
“Melalui pameran ini, pengunjung berpeluang menyaksikan pelbagai karya seni yang mencerminkan transformasi dan peranan alumni ITM dalam bidang pendidikan serta seni sepanjang tiga dekad mereka berkecimpung dalam industri ini,” katanya.
Tambah beliau, pameran ini turut menampilkan sumbangan karya daripada 10 orang pempamer, yang menyumbangkan hasil seni mereka kepada Institut Peradaban Melayu untuk dimanfaatkan sebagai bahan penyelidikan, pengajaran, dan pembelajaran di U
“Karya-karya yang disumbangkan ini dianggarkan bernilai lebih RM50,000, membuktikan penghargaan tinggi terhadap seni dan pendidikan dalam kalangan penggiat seni tanah air,” katanya lagi.
Majlis ini bukan sahaja memperkukuh jaringan antara akademia dan penggiat seni, tetapi juga mengukuhkan peranan UPSI sebagai institusi yang terus menyemarakkan seni dan budaya dalam sistem pendidikan negara.
“Dengan adanya pameran seperti ini, diharapkan lebih banyak inisiatif seni dapat diteruskan bagi manfaat generasi akan datang,” ujar beliau.