IPT perlu serius jaga kebajikan, disiplin, sahsiah pelajar
SEMUA Institusi Pengajian Tinggi (IPT) serta sekolah-sekolah di negeri Perlis diharap akan sentiasa memberikan perhatian yang serius dalam aspek kebajikan, disiplin dan sahsiah pelajar masing-masing.
Penglibatan para pelajar untuk pelbagai program kesukarelawan juga perlu digalakkan dan diperbanyakkan lagi.
Ini kerana pelajar merupakan ‘duta’ kecil kepada setiap IPT dan juga sekolah di Perlis terhadap masyarakat di negeri ini.
Pelajar luar khususnya dari IPT juga merupakan ‘duta’ negeri Perlis apabila pulang ke tempat asal masing-masing.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Agihan Zakat MAIPs yang berlangsung di Masjid Nurus Salam, Behor Mentalon, Arau baru-baru ini.
Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang DiPertua MAIPs berkenan menyampaikan sumbangan wang tunai sebanyak RM700 kepada setiap penerima bagi memudahkan urusan seharian golongan kurang bernasib baik ini.
Majlis anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) pada edisi tersebut telah melibatkan 70 penerima dari Kariah Behor Mentalon dan 70 lagi dari Kariah Kurong Anai dengan jumlah penuh sebanyak RM98,000.
Para penerima terlebih dahulu menjalani saringan kesihatan secara percuma.
Antara aktiviti lain termasuklah ceramah ‘Bangun Jiwa Asnaf’ dari MAIPs, ceramah kesihatan dan juga ceramah dari pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan juga Polis DiRaja Malaysia (PDRM). – SM