Nasional

Institut Masa, PPMI santuni pendidikan kanak-kanak Palauh

INSTITUT Masa Depan Malaysia (Institut Masa), sebuah badan pemikir bebas bersama Pusat Pembangunan Minda Insan, Sabah menyantuni pendidikan kanak-kanak Bajau Laut (Palauh), kumpulan etnik minoriti Sabah, baru-baru ini.

Program yang dilakukan selama dua hari itu termasuk lawatan ke tiga buah PPMI iaitu di Kampung Kabog, Kunak 3 dan Kampung Hidayat, Pulau Bum Bum disertai oleh 14 kakitangan dan penyelidik Institut Masa serta guru-guru PPMI.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa, Azril Mohd Amin berkata, program tersebut memberi peluang kepada para penyelidik untuk melihat dengan lebih dekat masalah yang dihadapi oleh komuniti minoriti itu lebih-lebih lagi yang melibatkan aspek pendidikan.

Menurut beliau, kumpulan kanak-kanak itu menimba ilmu dalam keadaan penuh cabaran, serba kekurangan dan tercicir daripada arus perdana.

“Bagaimanapun di sebalik kekurangan ini mereka menunjukkan minat dan semangat yang tinggi untuk belajar terutama ilmu asas, membaca, menulis dan mengira serta pendidikan agama Islam,” katanya.

Menurut Azril, hubungan baik Institut Masa dengan beberapa buah pertubuhan bukan kerajaan Sabah seperti Haluan memudahkan perancangan rangka kerja jangka panjang bagi membantu komuniti itu

Antara bantuan yang ingin diberikan ialah menyediakan latihan kemahiran dan vokasional kepada para pelajar selain program motivasi untuk tenaga pengajar PPMI.

“Institut Masa juga akan meningkatkan kerja-kerja penyelidikan berkaitan hak-hak pendidikan bagi kumpulan minoriti Palauh, kumpulan yang tercicir dan terpinggir selain bercadang menjadikan beberapa PPMI dan Kelas Bimbingan Insan (KBI) di negeri itusebagai `sekolah angkat.’

“Program ini juga adalah sebahagian daripada usaha membantu Majlis Pemulihan Negara (MPN) dengan memberi fokus kepada hak pendidikan untuk semua murid,” katanya

Sementara itu, Ketua Penyelaras PPMI Sabah, Lajulliadi Lajahidi berkata, pusat pendidikan tersebut bermula sebagai pusat aktiviti komuniti pada tahun 2011 dengan memberi fokus kepada pendidikan anak-anak etnik minoriti dan miskin luar bandar Sabah yang terpinggir daripada program pembangunan arus perdana negara.

Dalam lawatan yang sama Institut Masa turut menyumbang barang-barang keperluan pembelajaran dan pengajaran kepada tiga PPMI tersebut. -SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button