Institusi Islam perlu aktif buktikan terus membangun
SEMUA institusi Islam perlu lebih aktif, relevan dan kembali melihat fungsi serta peranan sebenar masing-masing sebagai satu badan yang akan terus membangun, membela, melindungi dan memperkasa umat Islam, titah Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Berikutan itu, titah Baginda, usaha menambah baik sistem pentadbiran sedia juga perlu dilaksanakan agar dapat menjalankan tugas dengan lebih berkesan dan optimum.
Baginda bertitah, institusi-institusi Islam juga perlu sentiasa berusaha memikirkan bagaimanakah caranya untuk melahirkan generasi yang cemerlang pelbagai ilmu terutamanya generasi pencinta al-Quran.
“Wujudnya sekolah-sekolah tahfiz dan silibus pengajian al-Quran misalnya boleh dijadikan sebagai ruang dalam usaha memberikan ilmu al-Quran yang terbaik kepada anak-anak selain ia dilaksanakan dengan penuh berintegriti, berperaturan dan betul,” titah Baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang DiPertua Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah demikian selepas berkenan berangkat mengetuai Program Kayuhan MAIPs Peduli bagi menjejaki dan menyantuni asnaf di sekitar Beseri, baru-baru ini.
Baginda juga berkenan menyampaikan wang tunai sebanyak RM2,100 kepada tiga asnaf terpilih.
Para penerima terdiri dari Rahman Din, 51, dari Kampung Semadong, Abdul Halim Abdullah, 63, juga dari kampung yang sama dan Zaidi Md Saad, 51, dari Kampung Padang Malau.
Masing-masing menerima sumbangan agihan zakat MAIPs bernilai RM700 daripada Pemangku Raja Perlis. – SM