Uncategorized

Inisiatif Warong KiplePay bantu peniaga kecil beralih ke ekonomi tanpa tunai

WarongKu, platform e-dagang yang baru dilancarkan, bertujuan untuk menggerakkan peniaga kecil ke arah perniagaan dalam talian bagi mewujudkan persekitaran perniagaan tanpa sentuh dan tanpa tunai.

Platform ini dibangunkan di bawah inisiatif Transformasi Penjaja dan Peniaga Kecil Menerusi Pendigitalan yang digerakkan oleh SME Corp dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), serta dikendalikan oleh Idea Creative Technology Sdn Bhd (ICTSB) dengan kerjasama Gabungan Persatuan Persatuan Penjaja Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM).

WarongKu menyasarkan seramai 25,000 peniaga kecil untuk memiliki terminal pembayaran  sendiri dengan pilihan pembayaran tanpa tunai dan tanpa sentuh menjelang 2022.

Setakat ini, seramai 3000 peniaga kecil telah dilengkapi dengan terminal pembayaran, dan akan diikuti dengan lagi 3500 peniaga kecil pada kumpulan yang berikutnya.

Kerjasama yang meliputi seluruh negara ini akan membantu peniaga kecil seperti peniaga gerai, warong dan restoran untuk membawa perniagaan mereka ke dalam talian dengan menyediakan kedai dalam talian di laman web WarongKu dan seterusnya memulakan transaksi yang lancar bersama pelanggan dengan pilihan pembayaran tanpa tunai di gerai, warong dan restoran,
yang dikuasakan oleh KiplePay.

Transaksi tanpa tunai dilakukan menerusi terminal dan gerbang pembayaran KiplePay, yang menyediakan kemudahan kepada pelanggan untuk membuat sebarang pembayaran dalam talian menggunakan penyedia e-dompet pilihan mereka, termasuk e-dompet KiplePay.

Selain itu, apabila peniaga kecil mendaftar sebagai peniaga WarongKu, mereka akan secara automatik diberi Kiple MerchantID yang membolehkan mereka menerima pembayaran jualan dalam tempoh 2 hari, lebih cepat daripada jangka waktu kebiasaan.

Ketua Pegawai Eksekutif KiplePay Sdn.Bhd., Tan Kay Yen berkata, bahawa KiplePay memahami akan situasi peniaga kecil dan cabaran yang mereka hadapi dalam pendigitalan, oleh itu syarikatnya memperkenalkan penyelesaian yang lancar serta mudah digunakan bagi mempercepatkan peralihan perniagaan mereka ke dalam talian.

“Untuk berkembang maju dalam dunia pasca pandemik, banyak perniagaan meneroka secara aktif mengenai cara terbaik untuk mengguna pakai penyelesaian digital dalam keseluruhan perniagaan mereka supaya dapat memastikan kelangsungan perniagaan serta bergerak seiring dengan ekosistem yang semakin kompetitif.

Justeru, pengenalan WarongKu bertujuan membantu perniagaan kecil memenuhi keperluan tersebut dan merupakan inisiatif yang hadir bersesuaian dengan waktunya pada bulan Ramadan ini.”

Platform WarongKu adalah rentetan daripada Warong Rider yang baru sahaja dilancarkan, iaitu satu alternatif bagi orang ramai untuk membeli makanan dari bazar Ramadan, di samping menguruskan bungkusan dan barangan lain yang diperlukan untuk penghantaran.

Perniagaan yang kini menggunakan platform Warong Rider dihubungkan dengan rakan kongsi penghantaran untuk urusan logistik, urusan yang sering menjadi cabaran buat perniagaan kecil.

Platform WarongKu dan Warong Rider adalah inisiatif daripada industri untuk membolehkan perniaga kecil mematuhi prosedur operasi standard (SOP) keselamatan dan memastikan mereka mengambil langkah berjaga-jaga yang sepatutnya untuk membataskan interaksi.

Ketua Pegawai Eksekutif Warong, Mohd Nadzri Kamarulzaman berpendapat bahawa apabila digitalisasi kini merupakan satu keperluan, penting bagi peniaga kecil mula memikirkan cara untuk memindahkan jenama dan perniagaan mereka dalam talian.

“Kami memfokuskan khusus dalam menyokong peniaga kecil dan mikro; yang mana sebahagian besarnya menjalankan perniagaan dari rumah dan juga pasaran penjual kerana mereka  dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang ini.

“Jalinan kerjasama dengan Green Packet Berhad, iaitu syarikat induk KiplePay Sdn Bhd, yang berpengalaman selama bertahun-tahun dalam bidang digital adalah langkah praktikal untuk memastikan komuniti perniagaan kecil mempunyai sokongan yang diperlukan bagi berkembang maju dalam landskap baharu ini.

“Bersama kita membantu mereka dalam membina jenama serta meningkatkan kebolehan perniagaan kecil untuk menyumbang dan bersaing dengan lebih baik dalam ekonomi digital Malaysia,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button