Inflasi sederhana 1.9 % pada bulan September
Inflasi keseluruhan menurun sedikit kepada 1.9 paratus pada September berbanding Ogos (2.0 peratus) didorong
sebahagian besarnya oleh inflasi makanan segar yang terus menunjukkan trend menurun pada bulan September (1.6%; Ogos 2023: 2%).
Bank Negara dalam satu kenyataan memberitahu, sementara itu, inflasi teras kekal stabil pada 2.5 peratus (Ogos 2023: 2.5 peratus).
Inflasi yang lebih tinggi bagi barangan seperti beras dan barang kemas diimbangi oleh inflasi yang sederhana dalam perkhidmatan terpilih termasuk pembaikan dan penyelenggaraan kenderaan serta perkhidmatan rekreasi.
Menurut Bank Negara, pertumbuhan perdagangan borong dan runcit juga sedikit perlahan pada bulan
Ogos.
Indeks Perdagangan Borong dan Runcit (Index of Wholesale and Retail Trade, IOWRT) meningkat sebanyak 5% pada bulan Ogos 2023 (Julai 2023: 5.4%).
Indeks jualan runcit bertambah baik berikutan pertumbuhan yang lebih tinggi di kedai bukan khusus (contohnya, pasar raya dan gedung serbaneka) serta jualan runcit kelengkapan isi rumah (contohnya, perabot dan peralatan
rumah).
Walau bagaimanapun, pertumbuhan segmen kenderaan bermotor menjadi sederhana.
Pertumbuhan kredit pula kekal menyokong kegiatan ekonomi dengan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan meningkat sebanyak 4.2% pada akhir bulan September (Ogos 2023: 3.8%), mencerminkan terutamanya pertumbuhan pemberian kredit yang lebih tinggi kepada perniagaan (3%; Ogos 2023: 2.3%).
Pinjaman perniagaan terkumpul meningkat sebanyak 1.6% (Ogos 2023: 0.7%) berikutan pertumbuhan yang lebih tinggi dalam pinjaman modal kerja PKS dan bukan PKS.
Yang ketara, pertumbuhan pinjaman PKS meningkat kepada 6.7% (Ogos 2023: 6.2%).
Sementara itu, pertumbuhan bon korporat terkumpul juga meningkat kepada 5% (Ogos 2023: 4.4%).
Bagi isi rumah, pertumbuhan pinjaman terkumpul meningkat sedikit kepada 5.4% (Ogos 2023: 5.3%), disokong oleh pengembangan yang stabil merentas semua tujuan pinjaman.
Keadaan ini mencerminkan permintaan pinjaman yang berterusan, dengan pertumbuhan permohonan pinjaman yang lebih tinggi pada 3.8% (Ogos 2023: 3%). – SM