Nasional

Industri kreatif diberikan kelonggaran beroperasi bermula Khamis

KERAJAAN bersetuju melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) Fasa 1 kepada industri kreatif bermula Khamis ini.

Kelonggoran tersebut akan memberi kelegaan kepada lebih sejuta penggiat, artis dan pekerja serta kepada lebih 19,000 syarikat berkaitan industri kreatif.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kelonggaran diberikan berikutan faktor terdapat negeri telah mencapai status 80 peratus populasi dewasa menerima dua dos lengkap vaksin atau telah mencapai tahap imuniti kelompok.

“Persetujuan untuk memberi kelonggaran ini adalah tertakluk kepada syarat SOP yang diluluskan oleh MKN, termasuk hanya kepada penggiat, pekerja dan pengguna yang sudah menerima dua dos lengkap vaksin COVID-19 serta kapasiti ruang premis yang dibenarkan,” kata Ismail Sabri dalam satu kenyataan.

Selain membolehkan lebih sejuta penggiat, artis dan pekerja industri mula bekerja dan menyara kehidupan, kelonggaran ini juga dapat kembali menghidupkan industri kreatif negara yang sangat terkesan akibat pandemik COVID-19.

Kelonggaran diberikan kepada:

1. Pembangunan dan penyiaran kandungan kreatif secara rakaman atau siaran langsung;

2. Penyiaran secara rakaman atau siaran langsung berbentuk penyampaian maklumat dan hiburan dengan kehadiran penonton yang telah lengkap vaksin dengan kapasiti penonton 30% di ruang studio.

3. Penggambaran industri kreatif di dalam dan di luar studio kepada individu yang telah lengkap vaksin;

4. Indoor busking kepada individu yang telah lengkap vaksin.

5. Persembahan di lounge hotel kepada individu yang telah lengkap vaksin.

6. Aktiviti panggung wayang kepada individu yang telah lengkap vaksin dengan kapasiti 50% di ruang dewan tayangan pawagam.

7. Aktiviti persembahan langsung seperti seni teater, muzikal, muzik dan komedi (secara pra-daftar) dengan penonton yang telah lengkap vaksin serta kapasiti
penonton 30% di ruang premis.

8. Aktiviti pameran seni di dewan pameran, muzium dan galeri seni (secara temu janji) dengan pengunjung yang telah lengkap vaksin dengan kapasiti pengunjung 30% di ruang premis.

Menurut Ismail Sabri, keputusan tersebut juga akan menggerakkan kembali semua inisiatif serta program yang direncanakan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), MyCreative Ventures dan Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA).

Untuk rekod, industri kreatif menyumbang sebanyak 2% atau RM29 bilion daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2019.-SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button