Nasional

Individu terbabit dengan kerugian Mara Inc sudah didakwa, kata Asyraf Wajdi

Individu yang dikaitkan dengan kerugian terkumpul sebanyak RM286.3 juta yang ditanggung Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc) telah didakwa di mahkamah.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki memberitahu, individu berkenaan sudah pun dihadapkan ke muka pengadilan dan perbicaraan kes berkenaan ketika ini sedang berjalan.
Katanya, ia melibatkan pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa berhubung pembelian hartanah di Australia pada harga lebih tinggi daripada nilai pasaran.
“Pembelian tersebut menunjukkan harga lebih tinggi dan melampau daripada nilai pasaran sehingga akaun Mara Inc rekodkan kerugian terkumpul. Perkara ini diketahui apabila penilaian semula dibuat ke atas aset-aset dan perubahan kepada kaedah pelaporan perakaunan.
“Kes ini merangkumi pembelian tujuh aset luar negara dalam urusan meragukan oleh Mara Inc yang merupakan anak syarikat Mara Corporation Sdn Bhd (Mara Corp) khususnya di Australia dan United Kingdom (UK) antara tahun 2012 hingga 2014,” katanya seperti yang dipetik dari Sinar Harian.
Ketua Pengarah Mara, Datuk Seri Azhar Abdul Manaf pada Sabtu dilapor menjelaskan bahawa kerugian Mara Inc bernilai RM 286.30 juta yang terkumpul sejak 2012 hingga 2022 seperti dapatan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 berpunca daripada pembelian aset luar negara.
Kerugian itu membabitkan sejumlah urusan pembelian aset khususnya di Australia dan United Kingdom (UK) antara 2012 hingga 2014.
 Asyraf Wajdi berkata, separuh daripada hartanah tersebut juga sebenarnya sudah dijual menerusi Pelan Rasionalisasi Mara Inc yang diluluskan Majlis Mara pada September 2015. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button