Luar NegaraNasional

Individu berdarah A lebih berisiko dijangkiti COVID-19

SAMA ada benar atau pun tidak, ini adalah kajian awal yang dilakukan di China yang mana mendapati, individu yang mempunyai darah jenis A dipercayai lebih mudah terdedah kepada COVID-19 berbanding mereka yang berdarah jenis O.

Memetik laporan BERITA HARIAN,  hasil daripada kajian mendapati sebahagian besar pesakit dari Wuhan dan Shenzhen, China, yang dijangkiti coronavirus dan meninggal dunia adalah mereka yang terdiri dari kumpulan pesakit darah jenis A.

Menurut laporan yang dipetik pula dari REUTERS, hanya sebilangan kecil pesakit berdarah jenis O yang dijangkiti, meninggal dunia akibat serangan virus itu.

Menurut penyelidik di Pusat Perubatan yang berpangkalan di Wuhan, pesakit dalam kumpulan darah A dinasihatkan agar meningkatkan lagi daya tahan tubuh bagi mengurangkan risiko dijangkiti coronavirus.

Pasukan yang diketuai Wang Xinghuan bagaimanapun berkata, kajian itu masih terlalu awal untuk dinyatakan dengan pasti dan oleh sebab itulah, lebih banyak kajian perlu dilakukan bagi membuktikan kesahihannya.

Kajian yang diterbitkan di Medrxiv.org itu membandingkan lebih 2,173 jenis darah yang disahkan mempunyai kes positif COVID-19 di Wuhan dan Shenzhen dengan 3,694 penduduk yang bebas daripada virus itu.

Ia menunjukkan lebih 31.16 peratus penduduk Wuhan mempunyai darah jenis A.

Kajian di Hospital Wuhan Jinyintan mendapati, 37.75 pesakit COVID-19 di hospital itu mempunyai darah jenis sama (A).

Sampel darah yang sama juga menunjukkan 25.8 peratus mempunyai darah jenis O berbanding 33.84 peratus daripada keseluruhan populasi.

Hasil kajian itu juga mendapati 206 pesakit meninggal akibat virus itu selain 85 pesakit atau 41.26 peratus adalah daripada kumpulan darah A dan 52 kematian daripada individu berdarah O.

Bagaimanapun saintis yang tidak terbabit dalam kajian itu memberitahu South China Morning Post bahawa lebih banyak sampel darah perlu diambil bagi membantu pakar perubatan.

“Sekiranya anda dari kumpulan darah A, tidak perlu panik. Ia tidak bermaksud anda akan dijangkiti 100 peratus,” menurut Gao Yingdai, penyelidik yang berasal dari Tianjin.

“Ia tidak bermakna individu berdarah O juga selamat. Anda masih perlu mencuci tangan dan mengikuti garis panduan yang dikeluarkan pihak berkuasa,” katanya.

Setakat ini, lebih 196,000 kes COVID-19 dilaporkan di seluruh dunia dan lebih 7,800 kematian berkaitan virus itu. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button