Indeks Pelopor meningkat 17.3 peratus, terbantut jika lockdown
Penunjuk Ekonomi Malaysia (PEM): Indeks Pelopor (IP), Serentak dan Susulan bagi Mac 2021 menjangkakan prospek ekonomi Malaysia yang lebih stabil.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mustapa Mohamad berkata, pada Mac lalu IP mencatatkan pertumbuhan yang lebih kukuh iaitu pada 17.3 peratus. Ini berbanding dengan peningkatan sebanyak 8.2 peratus pada Januari dan 8.6 peratus pada Februari 2021.
“Pada bulan Mac 2021, kesemua tujuh komponen IP mencatatkan peningkatan berbanding Mac 2020,” katanya.
PEM ini adalah indikator yang memberi gambaran tentang prospek ekonomi negara bagi empat hingga enam bulan ke hadapan.
Indikator tersebut dapat membantu penggubal dasar, pelabur, penyelidik serta masyarakat umum untuk mendapat gambaran tentang hala tuju ekonomi negara dalam tempoh empat hingga enam bulan ke hadapan.
Tujuh kompenen IP yang mencatatkan peningkatan adalah bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan yang melonjak sebanyak 160.7 peratus.
Import benar logam asas berharga dan logam bukan ferus lain yang turut mencatatkan 129.4 peratus.
Bilangan syarikat baru didaftar meningkat sebanyak 105.3 peratus. Indeks perusahaan Bursa Malaysia meningkat sebanyak 74.3 peratus.
Import Benar Semi Konduktur meningkat 31.3 peratus. Penawaran wang benar M1 turut meningkat 17.1 peratus.
Jangkaan nilai jualan di sektor pembuatan yang meningkat 6.5 peratus.
“Prestasi yang baik ini adalah selaras dengan kadar pertumbuhan KDNK pada Mac 2021 sebanyak 6.0 peratus.
“Sekiranya kerajaan memutuskan untuk melaksanakan total lockdown bermula pada 25 Mei hingga 7 Jun 2021 seperti yang berlaku dalam tempoh PKP 1.0 momentum pertumbuhan ini akan terjejas,” kata Mustapa.
Katanya, kerajaan menjangkakan bahawa ramalan pertumbuhan 2021 sebanyak 6.0 hingga 7.5 peratus dapat dicapai sekiranya krisis kesihatan ini dapat distabilkan selepas berakhirnya PKP 3.0.
Total lockdown menurut beliau, akan menyebabkan kadar penggangguran meningkat dengan mendadak, bilangan isi rumah miskin akan bertambah, prestasi syarikat kecil dan besar akan terjejas dan kedudukan fiskal akan berada dalam keadaan yang lebih mencabar.
“Semasa libat urus saya dengan wakil-wakil industri, wakil-wakil perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta persatuan-persatuan penjaja pada 22 dan 23 Mei 2021, sebahagian besar daripada mereka bersetuju dengan keputusan Kerajaan untuk melaksanakan PKP 3.0.
“Kerajaan perlu sentiasa mengimbangkan antara nyawa dan kehidupan. Keputusan untuk melaksanakan PKP 3.0 dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang lebih ketat adalah tepat,” jelas Mustapa.
Bagi memudahkan rakyat memahami senario ekonomi semasa, DOSM telah menghasilkan Malaysia Business Cycle Clock (MBCC) yang dipaparkan di portal (www.dosm.gov.my) bagi menggambarkan pergerakan kitaran ekonomi.-SM