Rencah Hidup

Uncle Kentang tak harap anugerah, cukup lihat orang susah, tersenyum

TIDAK mengharapkan sebarang anugerah terhadap segala kerja kebajikan dan kemanusiaan yang dilakukannya selama lebih 10 tahun ini.

Aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng yang bakal menerima anugerah ‘Commonwealth Points of Light’ oleh Ratu Elizabeth II berkata, dia juga tidak mengharapkan gelaran seperti ‘Datuk’ terhadap kerja sosial yang dicurahkan kepada masyarakat.

Chee Heng yang juga dikenali sebagai ‘Uncle Kentang’ hanya mahu senyuman sebagai balasan terhadap mereka yang menerima bantuannya ketika dihimpit kesusahan hidup.

Justeru dia tidak berkecil hati jika tidak menerima sebarang penghargaan dari dalam negara kerana apa yang dilakukannya adalah ikhlas dan dia mampu untuk melakukannya.

“Kita ini bukan mencari anugerah. Tak kisah langsung. Saya hanya inginkan senyuman dan terima kasih. Itu pun sudah mencukupi.

“Apa-apa pun kita ‘kun faya kun’ sahajalah. Jangan kita mencari penghargaan. Kita membantu orang perlukan keikhlasan. Kalau harapkan anugerah kita akan cepat letih, kecewa dan hampa. Lama-lama kita akan kelesuan. Bila buat ikhlas, kita tidak rasa penant,” katanya ketika dihubungi oleh Suara Merdeka.

Aktivis berusia 58 tahun itu menjadi rakyat Malaysia keempat  menerima anugerah ‘Commonwealth Points of Light’ sejak ia diperkenalkan pada 2018.

Commonwealth Points of Light adalah kesinambungan daripada program Prime Minister Points of Light di United Kingdom.

Anugerah Commonwealth Points of Light diberikan setiap minggu oleh Ratu Elizabeth II kepada seorang individu yang menjalankan kerja sukarelawan dan kemanusiaan di seluruh negara Commonwealth.

“Saya terkejut dan anugerah ini saya dedikasikan kepada seluruh rakyat Malaysia. Hasil ini datangnya daripada kerjasama dan perpaduan seluruh rakyat Malaysia. Saya seorang diri tidak mampu untuk melakukan semua kerja ini.

“Bila kita minta sumbangan beli van jenazah dalam empat jam kita kumpul RM100,000 beli sebuah. Sumbangan daripada pelbagai bangsa. Kita minta jentera bomba, kita dapat dalam masa dua hari. Jadi saya pulangkan anugerah ini kepada rakyat Malaysia yang tak pernah penat memberi sumbangan,” katanya.

Ketika beliau ditemubual melalui telefon bunyi sebuah lagi telefon milik aktivis kemanusiaan itu berbunyi banyak kali. Dalam tempoh 15 minit dia menjawab beberapa panggilan yang semuanya meminta pertolongan.

Chee Heng berkata, pagi ini sahaja dia menerima dua panggilan telefon yang menyatakan hasrat untuk membunuh diri kerana tidak lagi mampu untuk meneruskan kehidupan selepas dibebani dengan masalah kewangan.

“Satu kes melibatkan seorang wanita yang telah ditinggalkan suami. Dia tidak ada duit untuk makan. Sewa rumah pun tidak boleh bayar.

“Seorang lagi kehilangan kerja sejak tahun lalu dan dia dalam keadaan tertekan. Dia tidak ada jalan. Jadi saya kata kepada mereka, tak perlulah bunuh diri. Kita boleh beri makanan dan bantu,” katanya.

Chee Heng berkata, dia tidak akan pernah penat untuk membantu orang yang meminta pertolongan.

Tegasnya, ketika mereka yang susah datang meminta pertolongan bukan kerana Tuhan mahu menguji orang tersebut tetapi mahu menguji dirinya yang berkemampuan untuk menolong atau tidak.

“Dia sedang menguji kita ini, adakah kita ini yang mampu, mahu membantu atau tidak. Kita anggap ini ujian Tuhan untuk tambah rezeki di akhirat nanti.

“Kalau orang susah datang jumpa kita jangan tolak. Pasal Tuhan bukan menguji orang susah tu, Dia menguji kita kerana Tuhan tahu kita mampu. Adakah kita tidak mahu bantu?” katanya.

Ketika pandemik Covid-19 melanda ramai yang memohon pertolongan tetapi banyak juga yang menghulurkan sumbangan kepada Chee Heng.

Pagi ini sahaja seorang individu menghantar sumbangan 200 kilo ikan segar dan 1,000 kilo pisang untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang digerakkannya ketika ini mempunyai 11 van ambulan, 10 van jenazah dan sebuah jentera bomba selain perkhidmatan rumah RM1 dan teksi 10 sen.

Anugerah ‘Commonwealth Points of Light’ akan diberikan kepada Chee Heng pada 12 Jun ini.

Rakyat Malaysia yang turut menerima anugerah tersebut sebelum ini ialah Doktor ‘Teddy Bear’, Dr Madhusudhan Shanmugam; Pengasas gerakan ‘Zero Waste Malaysia’, Khor Sue Yee dan Aurora Tin; serta penyelidik penyu air tawar, Dr Chen Pelf Nyok.-SM

 

(Visited 509 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button