Impak pertembungan sangat kuat, ramai penumpang terpelanting – mangsa
SEMALAM negara digemparkan dengan insiden perlanggaran dua buah tren Transit Aliran Ringan (LRT) berdekatan stesen LRT KLCC kira-kira pukul 8.30 malam.
Kedua-dua tren tersebut bertembung dan satu daripadanya membawa sebanyak 233 penumpang.
Seorang daripada penumpang yang berada di dalam tren tersebut, Aq Luqman Mohd Baharudin, 27, berkata, tren dipercayai telah berhenti kira-kira 15 minit sebelum perlanggaran berlaku.
“Sewaktu kejadian, tren menghampiri KLCC dan saya nak ke Ara Damansara
“Kemalangan berlaku di laluan bawah tanah berhampiran KLCC dan impaknya sangat kuat, mengakibatkan ramai penumpang yang sedang duduk dan berdiri terpelanting,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Aq Luqman berkata sebelum kejadian, tren berkenaan berhenti selama 15 minit sebelum bergerak semula.
“Tidak sampai 10 saat bergerak berlaku pelanggaran,” katanya, menambah kejadian itu menyebabkan dia mengalami kecederaan di kepala, kaki kiri dan dada.
Menurutnya, tidak lama selepas kejadian, pasukan keselamatan tiba dan mengeluarkan kesemua penumpang termasuk dirinya yang kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, pemerhatian Bernama mendapati beberapa mangsa berkongsi detik cemas insiden berkenaan menerusi laman media sosial.
Antaranya pengguna Twitter Lim Mahfudz yang berkongsi video dan gambar kemalangan yang dirakamnya sendiri.
“Keseluruhan video ini saya rekod sendiri dan saya baik-baik saja, tidak mengalami sebarang kecederaan. Syukur kepada Tuhan kerana melindungi saya. Bagi saya, kejadian ini adalah satu tragedi dan satu mimpi ngeri yang benar-benar berlaku dalam hidup saya,” kongsi Lim Mahfudz.
Katanya ada penumpang cedera akibat terkena serpihan cermin tingkap tren yang pecah dan ada yang terpelanting selepas tren itu berhenti secara mengejut. -SM