Imej baharu Sarah Hildebrand, Neelofa jadi perbandingan
INDUSTRI hiburan tempatan nampaknya dikejutkan dengan dua kisah penghijrahan imej melibatkan dua selebriti wanita.
Menariknya, seorang memilih untuk membuka tudung manakala seorang lagi membuat keputusan untuk tampil berniqab.
Ya, ini kisah berkenaan dengan pelakon, Sarah Hildebrand dan Neelofa.
Kira-kira dua hari lalu, Sarah atau nama sebenarnya Nur Sarah Marie Hildebrand Asyraf Hildebrand, 30, membuat keputusan untuk membuka tudungnya selepas lima tahun mengenakan hijab.
Malah, keputusan itu turut mendapat sokongan suaminya, Otto Gillen.
Keesokan harinya, Neelofa pula yang sebelum ini sememangnya sudah berhijab tampil dengan imej baharu iaitu berniqab.
Semestinya perubahan dua imej ini mendapat komen dan perbandingan daripada netizen.
Sarah menerusi akaun Instagram miliknya memberitahu terdapat kritikan negatif yang dilemparkan terhadapnya di laman sosial itu.
Netizen itu dilihat mengungkit kembali apa yang pernah diperkatakan Sarah terhadap pelakon dan usahawan Neelofa yang sebelum ini pernah hangat dikecam kerana melancarkan koleksi tudung jenamanya, Naelofar di sebuah kelab hiburan popular di ibu kota, dua tahun lalu.
“Kepada semua yang mengikuti Instagram saya, sama ada yang ikhlas mengikuti atau pun tidak, jadikan komen yang saya kongsikan ini sebagai pengajaran untuk tidak katakan kepada seseorang.
“Tolong jangan jadi macam individu ini. Ia bukan satu contoh yang baik dan saya tidak mahu anda semua berperangai seperti ini.
“Saya malu jika ada daripada kalangan peminat saya yang berperangai sebegini.
“Ingat, seorang orang boleh berubah dalam sekelip mata. Yang paling penting ialah untuk memiliki hati yang tulis dan suci,” luahnya.
Dalam situasi ini, kedua-dua selebriti memerlukan sokongan untuk kekal istiqamah dalam apa jua keputusan yang diambil. -SM