Imam sifatkan elaun khas tanda prihatin Kerajaan Perpaduan
IMAM diakui memainkan peranan penting dalam mengimarahkan masjid dan tugas yang dipikul mereka tidak dipandang ringan oleh kerajaan yang meluluskan sumbangan khas sebanyak RM600 dalam Belanjawan 2023.
Selain imam, sumbangan khas tersebut turut diberikan kepada bilal, tok siak, noja, marbut, guru KAFA dan guru takmir.
Pengumuman elaun khas ini oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2023 Februari lalu jelas membuktikan kerajaan menghargai peranan kumpulan ini sebagai pemacu usaha memartabatkan agama Islam di negara ini.
“Kita mahu institusi Islam dalam negara ini menjadi contoh terbaik dalam kecekapan pentadbiran,” kata Anwar semasa berucap pada pembentangan itu.
Jelas Perdana Menteri, pengurusan paling cekap harus dimulakan di masjid dan menjadi markas dakwah yang berkesan yang boleh meningkatkan kefahaman sebenar mengenai Islam.
Sumbangan khas itu membuktikan Kerajaan Perpaduan prihatin terhadap usaha mereka ini dalam menyemarakkan syiar dan pembangunan masyarakat Islam.
“Sangat sangat memahami peranan besar yang dimainkan oleh imam dan bilal serta guru-guru dalam mengimarahkan fungsi masjid seperti mana firman Allah,” katanya.
Sementara itu, Imam 1 Masjid Babul Ibadah Chemumar, Simpang Empat, Arau, Muhammad Faidhi Azis, 29, dalam tinjauan Suara Merdeka, menzahirkan penghargaan terima kasih kepada kerajaan atas pemberian RM600 kepada pegawai-pegawai masjid.
Katanya, meskipun pemberian itu secara sekali bayar baginya ia merupakan satu penghormatan dan tanda ingatan kepada kelompok ini.
“Alhamdulillah tahun ini, kenaikan sebanyak RM100 menjadikan jumlah keseluruhannya RM600 adalah suatu kerahmatan bagi kami,” katanya.
Muhammad Faidhi berkata, ia bertepatan dengan keadaan ekonomi semasa dan sangat berguna dalam membantu para pegawai masjid meringankan beban kos sara hidup.
Muhammad Ilias Md Zahir, 47, Imam 2 Masjid Al A’la, Behor Temak menyifatkan elaun khas ini sebagai satu penghargaan kerajaan terhadap para imam.
“Semoga elaun khas kepada para imam ini akan berterusan pada belanjawan akan datang,” katanya.
Beliau turut berharap elaun bulanan imam dikaji semula supaya ada pertambahan berbanding sekarang yang hanya RM850 sebulan.
Beliau berkata sekali gus kenaikan elaun pada masa hadapan akan dapat menggalakkan orang muda untuk memilih bidang ini yang dilihat boleh menjamin masa depan mereka.
Abdul Aziz Mizan, 27, Imam Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq Seberang Ramai, Kuala Perlis juga menyambut baik pemberian elaun khas ini.
“Alhamdulillah, ada juga rezeki untuk digunakan pada perkara yang diperlukan,” ujarnya.
Beliau berkata ini membuktikan Kerajaan Perpaduan ini tidak menganaktirikan para imam.
Abdul Aziz berkata, para imam pastinya bersyukur apabila kerajaan mahu berjalan seiring bagi memastikan martabat Islam di Malaysia kekal dijunjung tinggi.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai inisiatif lain dalam Belanjawan 2023 yang boleh dimanfaatkan rakyat, layari https://belanjawan.mof.gov.my/manfaat. – SM