Nasional

Imam ‘mandikan’ remaja curi tabung masjid letak jawatan

SEORANG imam yang terbabit dalam kontroversi memandikan remaja lelaki 19 tahun seperti jenazah selepas ditangkap cuba mencuri duit tabung masjid telah meletakkan jawatan berkuat kuasa hari ini setelah diminta berbuat demikian.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Zawawi Ahmad Mughni mengesahkan perkara itu.

Beliau berkata, pihaknya sudah berhubung dengan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Mohd Shahzihan Ahmad mengenai tindakan wajar yang sudah diambil terhadap imam berkenaan.

“Saya baru berhubung dengan Pengarah JAIS dan beliau memaklumkan sudah mengambil tindakan wajar terhadap imam berkenaan.

“Bagaimanapun saya kurang pasti tindakan terperinci tetapi diberitahu imam berkenaan sudah pun meletak jawatan,” katanya seperti dilaporkan FMT hari ini.

Zawawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis ketika mengulas tindakan imam berkenaan berkata, sebagai tokoh agama tempatan, individu bergelar imam atau nazir tidak sewajarnya menjatuhkan hukuman sendiri sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa.

“Sebagai imam atau nazir tidak sewajarnya memberi hukuman sebelum siasatan dilakukan. Patutnya kita beri keterangan kepada polis untuk selesaikan.

“Tugas imam sebagai da’i. Beri nasihat dan bimbingan kepada individu yang bermasalah. Bukan buat tindakan (menghukum) sendiri,” katanya.

Remaja berkenaan, Daniel Iskandar, 19, dipenjara 10 hari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Isnin lalu, tular video memaparkan seorang remaja dimandikan seperti jenazah selepas ditangkap kerana mencuri tabung di Masjid Al Islahiah Kuang, Rawang pada jam 11.58 malam, 8 Jan lalu.

Dia turut dilumur dengan kapur barus oleh ahli pengurusan masjid dan diawasi oleh beberapa penduduk kampung berkenaan.

Kalangan warganet menyokong tindakan pengurusan masjid itu sebagai pengajaran kepada remaja berkenaan.

Bagaimanapun ada warganet berpendirian pihak masjid tidak menghormati undang-undang dengan melayan remaja itu sedemikian. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button