Nasional

Imam Besar Masjid Negara sebak, nasihat para pemimpin henti bercakaran, bersimpatilah terhadap rakyat

IMAM Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni sebak ketika menyampaikan khutbah Aidiladha hari ini dan mengingatkan semua pihak terutamanya para pemimpin agar menghentikan percakaran yang sia-sia.

Tumpuan sepenuhnya, kata beliau seharusnya diberikan kepada usaha dan tindakan mengekang  penularan wabak Covid-19.

‘’Hentikanlah percakaran yang sia-sia. Bersimpatilah terhadap rakyat dan janganlah kerana ketamakan itu menyebabkan rakyat pula yang menjadi mangsa.

Beliau juga turut membaca peringatan Allah SWT dalam surah al-A’raaf ayat 96 bermaksud;

“Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.”

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Isteri, Puan Sri Noorainee Abd Rahman dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut menunaikan solat sunat Aidiladha di masjid tersebut.

Dalam khutbah bertajuk ‘Cabaran dan Pengorbanan’ itu, Ehsan berkata, pada kita berjuang melawan pandemik Covid-19, kita juga berdepan dengan bermacam bentuk cabaran.

‘’Pastinya, ramai yang terkesan dari sudut ekonomi, psikologi dan mental, pendidikan, bahkan, cuaca politik negara juga ada pasang surutnya. Seharusnya kita sedar bahawa manusia merupakan makhluk sosial yang tidak mampu hidup sendiri.

‘’Manusia merupakan makhluk yang memerlukan orang lain dalam banyak perkara. Maka, ketika kita ada kelebihan rezeki dan boleh berkorban, alangkah baiknya jika kita tidak menunda-nunda lagi.

‘’Yakinlah saudaraku, bahawa korban kita akan diterima Allah SWT dan akan dilipatgandakan pahalanya kerana membantu orang lain yang sedang mengalami kesusahan dan kedukaan,’’ katanya.

Walau apa jua keadaan dan perkara yang berlaku, kata beliau, Aidiladha tidak boleh kehilangan makna dan intipatinya.

‘’Ibadah korban yang kita laksanakan saban tahun memiliki hikmah dan pengajarannya yang banyak jika kita benar-benar menekuninya. Ambillah hikmah keteguhan dan keikhlasan Nabi Ibrahim AS yang sanggup mengorbankan sesuatu yang paling dicintainya.

‘’Ibadah korban yang dilaksanakan juga pasti memiliki banyak kelebihan sama ada kepada diri sendiri mahupun kepada orang di sekeliling kita,’’ katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button