Nasional

Orang Ramai Berhak Lihat Picagari Untuk Proses Sebelum Dan Selepas Vaksinasi – CITF

Setiap petugas vaksinasi perlu menunjukkan picagari yang berisi vaksin kepada penerima vaksin sebelum suntikan dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Penerima vaksin juga disarankan melakukan perkara sama sekali gus menambah keyakinan bahawa dos dan suntikan vaksin telah diberikan seperti yang sepatutnya.

Saranan ini dikeluarkan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) dalam satu kenyataan yang menjawab isu-isu yang berkait dengan suntikan vaksin COVID-19.

Bermula di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani, Kedah, terdapat aduan bahawa PPV tersebut dikhaskan kepada anggota ATM dan ahli keluarga mereka sahaja.

Ia merupakan kes pertama yang tular pada 17 Julai lalu dan vaksinasi di PPV tersebut dilaksanakan oleh petugas daripada Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT) di kem tersebut.


Pihak ATM telah menjalankan siasatan mengenai kejadian tersebut dan individu yang terlibat telah dipanggil untuk memberi penjelasan. Tindakan tatatertib juga telah diambil ke atas petugas vaksinasi tersebut.

“Pada tarikh sama, terdapat dua dakwaan lain mengenai suntikan vaksin kosong di PPV Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) dan orang awam yang terlibat telah membuat laporan polis.

“Di PPV Bangi Avenue Convention Centre (BACC), dakwaan mengenai suntikan palsu telah dibuat pada 18 Julai 2021 dan laporan polis telah dibuat oleh penyedia perkhidmatan kesihatan (HCO) terbabit,” kata kenyataan itu.

Dalam kenyataan itu, CITF memandang berat dakwaan mengenai suntikan vaksin COVID-19 di PPV yang tular di laman media sosial.

“CITF sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PRDM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menjalankan siasatan terhadap setiap dakwaan agar kejadian yang sama tidak berulang.

“Sekiranya didapati bersalah, CITF tidak teragak-agak untuk menamatkan perkhidmatan petugas yang terlibat dan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang berkenaan perkara ini,” kata kenyataan itu.

(Visited 87 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button