Agama

Ilmu agama, dunia harus digabung bagi lahirkan insan seimbang – Raja Muda Perlis

KANGAR 3 Mac – Ilmu agama dan ilmu duniawi harus digabungkan untuk melahirkan individu yang seimbang dalam aspek spiritual dan intelektual. Dengan ilmu, kita dapat meningkatkan lagi keimanan serta membentuk sebuah masyarakat yang lebih maju dan berdaya saing.

Ilmu juga memainkan peranan penting dalam kehidupan seorang Muslim. Ramadan adalah masa terbaik untuk kita sama-sama menambah ilmu, menghadiri majlis ilmu serta mendalami ajaran Islam dengan lebih baik.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Agihan Zakat anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di Masjid Darul Ulum Wang Ulu, Bintong dekat Kangar baru-baru ini.

Keberangkatan tiba Baginda turut diiringi sama oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Majlis ini merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan MAIPs dalam menyantuni golongan asnaf serta mereka yang memerlukan di negeri Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Lailatul Shahreen Akashah berkenan menyerahkan agihan zakat kepada 150 penerima yang terdiri daripada 75 orang daripada kalangan anak kariah Wang Ulu dan 75 orang lagi dari anak kariah Wang Bintong dengan jumlah keseluruhan sumbangan MAIPs sebanyak RM105,000 kali ini.

Setiap daripada mereka menerima wang tunai RM700 dan turut berpeluang menjalani pemeriksaan kesihatan percuma daripada Jabatan Kesihatan Negeri.

Majlis ini juga diserikan dengan ceramah kesedaran daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Perlis mengenai bahaya dadah bertajuk “Menjauhi Najis Dadah”, serta sesi motivasi “Bangun Jiwa Asnaf” untuk mengangkat semangat para asnaf agar terus berusaha memperbaiki kehidupan.

FOTO

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button