Ikon kereta hatchback popular kini kembali!
Naza Eastern Motors Sdn Bhd menawarkan Suzuki Swift Sport serba baharu
Peminat kereta hatchback di Malaysia mesti teruja, selepas pelancaran Toyota GR Yaris baru-baru ini, kini anda boleh memiliki pula sebuah lagi hatchback berprestasi dari negara matahari terbit iaitu Suzuki Swift Sport yang baharu. Adakah ia menandakan kemunculan semula era hatchback terbaik dari Jepun seperti tahun 90-an?
Jenama Suzuki Cars kini kembali ke Malaysia di bawah pengedar baharunya, Naza Eastern Motors Sdn. Bhd. Seperti yang kita sedia maklum, jenama Suzuki keluar daripada pasaran Malaysia pada tahun 2016 selepas proses rasionalisasi dengan Proton dan DRB-Hicom.
“Kami sangat teruja untuk memperkenalkan semula Suzuki di Malaysia dengan model hatchback berprestasi yang sangat popular dikalangan peminat kereta kompak. Kami percaya bahawa model ini sekali lagi dapat memikat peminat dari gaya agresifnya, pemanduan serba baru, dan pengendalian yang responsif. ” kata Dato Nik Hamdam Nik Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Naza Automotive Corporation Sdn Bhd.
Suzuki Swift Sport yang diimport penuh (CBU) dari Jepun, dikuasakan dengan enjin 1.4L BOOSTERJET yang dilengkapi dengan transmisi automatik 6-kelajuan dengan paddle shifter yang menghasilkan tork 140hp / 230Nm dari 2,500RPM. Gabungan itu membolehkannya memecut dari 0-100km/j dalam masa lapan saat dengan kelajuan maksimum mampu mencecah 205km/j.
Suzuki Swift Sport ini dibina di atas platform HEARTECH generasi baharu yang memastikan keselamatan jika berlaku perlanggaran yang ianya ditingkatkan melalui ketegaran bahagian bawah badan yang diperkuat supaya dapat memberi pengalaman pemanduan yang lebih mantap.
Di bahagian luaran pula, Suzuki Swift Sport mengekalkan sebahagian besar reka bentuk ikonik dari model terdahulunya tetapi kini ia dilengkapi dengan gril honeycomb hitam dengan diperkemaskan lagi dengan gentian karbon yang melingkar di sekitar kereta. Ia juga dilengkapi dengan sepasang lampu projektor LED dan DRL yang unik. Di belakang pula tampil ringkas dengan kombinasi lampu LED dan sepasang ekzos berkembar.
Gayaan sporty diteruskan ke ruang kabin dengan jahitan benang merah pada stereng, tempat duduk semi-bucket dan perumah tuil gear. Sterengnya juga dilengkapi dengan pedal penukar gear. Warna merah turut digunakan pada papan pemuka, panel pintu dan latar panel meter analognya. Konsol tengah pula dilengkapi skrin paparan berwarna bersaiz 7 inci dengan ketersambungan Apple CarPlay.
Tentang aspek keselamatan pula, Suzuki Swift Sport dilengkapi 6 beg udara, brek ABS dengan Emergency Brake Assist (EBA), EBD, Electronic Stability Control (ESC), Hill Hold Assist (HLA), pelumpuh enjin dan banyak lagi.
Pelanggan yang berminat kini bolehlah menuju ke bilik pameran Suzuki 3S yang terletak di Naza Automall, Petaling Jaya untuk melihat dan mengalami sendiri pengalaman pemanduan Suzuki Swift Sport baharu. Bilik pameran baharu Suzuki Cars Malaysia yang berkeluasan 2,702 kaki persegi ini sedia menyambut anda. Anda juga boleh dapatkan barangan serta aksesori rasmi Suzuki kegemaran anda disini.
Suzuki Swift Sport boleh anda miliki pada harga RM139,900 seunit bersama jaminan selama tiga tahun dan ianya hadir dalam 4 warna menarik untuk anda pilih iaitu Champion Yellow, Pearl Pure White, Speedy Blue Metallic, dan Burning Red Pearl Metallic. Anda boleh membuat temu janji terlebih dahulu untuk sesi pandu uji melalui talian 03-7952 7017 atau melayari terus laman web Suzuki Malaysia untuk maklumat lebih lanjut.