SEORANG ibu tunggal bersama kekasihnya ditahan kerana disyaki mendera tiga orang anaknya yang berusia 4, 6 dan tujuh tahun di sebuah rumah di Kota Damansara, Petaling Jaya.
Kejadian disedari oleh seorang wanita berusia 45 tahun yang dimaklumkan oleh jirannya berkenaan berlakunya penderaan di rumah tersebut.
Pada 23 Ogos lalu, wanita itu telah pergi ke rumah suspek untuk melakukan pemeriksaan dan pengesahan berkenaan aduan yang diterimanya.
Wanita itu mendapati rumah tersebut dihuni oleh seorang ibu tunggal bersama tiga orang anaknya dan seorang lelaki yang juga kekasihnya.
Suspek kemudian telah dinasihat supaya tidak memukul anaknya dan suspek turut memberikan anak bongsunya yang berusia 4 tahun untuk dijaga oleh wanita tersebut.
Wanita itu kemudian mendapati terdapat kesan lebam dan kecederaan di anggota badan mangsa yang kemudian dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Satu laporan polis telah dibuat oleh wanita berkenaan pada 26 Ogos lalu kira-kira pukul 6.30 petang.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, bertindak hasil laporan tersebut, satu serbuan telah dilakukan ke rumah suspek kira-kira pukul 4 petang semalam.
“Berada di dalam rumah tersebut ialah suspek dan kekasihnya yang berusia 30 dan 38 tahun serta kanak-kanak perempuan dan lelaki masing-masing berusia 6 dan 7 tahun.
“Pemeriksaan lanjut di dalam rumah juga telah menemukan tiga batang rotan pelbagai saiz yang dipercayai senjata yang digunakan oleh suspek,” katanya.
Jelasnya, hasil pemeriksaan ke atas badan dua kanak-kanak tersebut juga mendapati terdapat kesan kecederaan disyaki akibat penderaan.
Ujarnya, kedua-dua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dua lagi mangsa telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut. -SM