JenayahNasional

“Ibu kutu” Sapiza dan lapan konconya kantoi

SINDIKET penipuan skim pelaburan kutu “Sapiza” tumpas susulan penahanan lapan individu termasuk dalang utama penipuan itu.

Setiausaha Polis, Noorsiah Saaduddin berkata, suspek berusia antara 31 hingga 37 tahun melibatkan dua lelaki dan enam wanita itu ditahan dalam beberapa serbuan sekitar Kuala Lumpur, Terengganu, Perak dan Negeri Sembilan pada 27 Jan lalu.

Katanya, turut dirampas sebuah kenderaan mewah, kad ATM, telefon bimbit pelbagai jenama dan dokumen dipercayai digunakan dalam aktiviti penipuan berkenaan.

“Siasatan awal mendapati skim ini mula aktif sejak 2015 dengan menawarkan simpanan berasaskan permainan kutu, bagaimanapun mulai 2021, skim ini mula menawarkan pelan simpanan baharu serendah RM250 hingga RM20,000 dengan tempoh simpanan antara dua hingga lima bulan,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, skim kutu itu turut menjanjikan keuntungan 15% hingga 40% daripada jumlah simpanan.

“Bagaimanapun, sejak Oktober 2022, pengendali skim simpanan ini didapati mulai gagal melunaskan pembayaran keuntungan kepada peserta,” katanya.

Setakat ini, sebanyak 116 laporan polis diterima membabitkan skim kutu itu melibatkan kerugian berjumlah RM4.438 juta.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFPUAA 2001),” katanya.

Kelmarin, media melaporkan seorang wanita dikenali sebagai “Sapiza” dipercayai menjadi dalang penipuan skim pelaburan kutu yang memperdaya ribuan mangsa di seluruh negara membabitkan kerugian didakwa puluhan juta ringgit.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Hishamuddin Hashim, berkata skim itu yang bertapak di Johor memperdaya mangsa terdiri penjawat awam, golongan profesional dan suri rumah melibatkan kerugian setiap seorang antara RM7,000 hingga RM200,000. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button