Ibu hidap kanser dicerai, hilang kerja, hidup bersama 6 anak dalam kereta
SEORANG ibu tunggal muda berusia 30an terpaksa tinggal dan tidur di dalam kereta jenis Proton Waja bersama-sama enam orang anaknya selepas diceraikan oleh suaminya.
Dia juga tidak mempunyai sebarang punca pendapatan kerana kehilangan kerja akibat Perintah Kawalan Pergerakan yang lalu.
Sepanjang tempoh PKP dia dan anak-anaknya pulang ke kampung di Temerloh, Pahang. Selepas PKP tamat dia dan anak-anaknya pulang semula ke rumahnya di Lembah Kelang. Namun mereka dihalau oleh tuan rumah kerana bayaran sewa tertunggak begitu lama.
Kehilangan arah, dia bersama anaknya berumur 14, 10, 8, 3, 2 dan 5 bulan terpaksa tinggal di dalam kereta. Kenderaan itu diletakkan di stesen minyak Rasa, Hulu Selangor. Di tandas stesen itu jugalah dia dan anak-anaknya menumpang mandi.
Ujian demi ujian menimpa ibu dan keluarga malang itu. Wanita itu disyaki menghidapi kanser payu dara dan belum menerima sebarang rawatan susulan.
Manakala anaknya yang berumur dua tahun mempunyai masalah jantung berlubang dan memerlukan rawatan susulan di Hospital Serdang dua kali setahun.
Anak yang berumur lima bulan pula menghidapi ketumbuhan di leher dan memerlukan rawatan susulan di Hospital Selayang.
Kisah ibu muda dan enam orang anak itu mula didedahkan oleh aktivis masyarakat Kuan Chee Heng di Facebooknya 20 jam yang lalu.
“Saya sedih bila buka pintu kereta. Ada satu anak tidur di tempat letak kaki belakang kereta. Sedih sungguh. I akan ambil masa untuk pulihkan emosi I.
“Maaf, I mudah cair tengok anak kecil tidur di mat kereta tempat letak kaki. Sedih sangat. Ya Tuhan permudahkan mereka. Sesungguhnya Kau Yang Maha Esa,” kata Chee Heng yang juga dikenali sebagai Uncle Kentang.
Menurut Chee Heng, wanita bersama enam orang anaknya itu telah tinggal dan bermalam di dalam kereta dengan pendingin hawa yang telah rosak itu selama lebih lima hari lima malam.
Ketika dia bertemu dengan keluarga itu, mereka kelihatan amat letih dan dalam keadaan yang amat sukar.
“Sedihnya ialah ibu kepada 6 anak itu ada kanser. Baru umur 30 tahun sudah ada kanser. Sedih sedih sedih. Anak satu ada masalah jantung, satu ada masalah pernafasan, satu OKU. Cukup menyayatkan hati. Sebelum aku pulang aku berbisik tabah. akui akan bantu mana yang mampu,” kata Chee Heng.
Perkongsian Chee Heng mendapat perhatian pihak yang berkenaan. Sebuah NGO Darul Jariyah membantu keluarga malang itu dengan menempatkan mereka di sebuah hotel di Bukit Beruntung.
Pihak Lembaga Zakat Selangor juga turut membantu. Menurut LZS , wanita itu kini dalam proses penceraian kerana kes ditangguhkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan.
“Suami tidak pulang ke rumah lebih empat bulan sejak penghujung bulan Februari 2020. Ketika ini, beliau tidak mempunyai pekerjaan setelah diberhentikan oleh majikan sejak Mac 2020 kerana PKP. Sepanjang PKP beliau pulang ke kampung di Temerloh, Pahang,” kata LSZ.
LSZ menyalurkan sumbangan kecemasan RM500 bagi menampung keperluan pemohon dan anak-anak sementara menunggu bantuan susulan dalam masa terdekat.
Hasil bancian mendapati, beliau layak didaftarkan sebagai asnaf fakir. Antara bantuan yang akan disalurkan deposit dan sewa bulanan rumah, bantuan kewangan bulanan, bantuan makanan bulanan dan bantuan perubatan rawatan bulanan.-SM