Hukuman terhadap Najib bukti kerajaan Muhyiddin tidak kawal mahkamah
MUNGKIN ramai yang terkejut bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dihukum bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur har ini atas kesemua tujuh pertuduhan berhubung dana RM42 juta dari SRC International Sdn Bhd.
Mungkin ramai juga yang tidak sangka seorang bekas perdana menteri yang juga merupakan Ahli Parlimen kerajaan akan didapati bersalah oleh mahkamah.
Sebelum ini ramai juga yang sinis dan sangsi apabila Perikatan Nasional mengambil-alih pentabiran Kerajaan Persekutuan.
Ada yang beranggapan bahawa dengan berkuasanya semula Barisan Nasional melalui Perikatan Nasional maka pemimpin-pemimpin yang berhadapan dengan kes di mahkamah seolah-olah mendapat tiket untuk membebaskan diri daripada undang-undang.
Malah secara sinis ada yang melihat segala pertuduhan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dibuat ketika era pentabiran Pakatan Harapan akan digugurkan.
Nampaknya hari ini semua kesangsian tersebut ternyata tidak berasas.
Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah. Najib didapati bersalah di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Mahkamah juga mendapati pasukan pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pasukan pendakwaan bagi tuduhan salah guna kuasa.
“Kesimpulannya, dalam penghakiman saya, setelah mempertimbangkan semua bukti yang dikemukakan di mahkamah ini, saya dapati pihak pembelaan tidak berjaya membantah anggapan mengenai keseimbangan kemungkinan atau menimbulkan keraguan munasabah terhadap tuduhan terhadap tertuduh di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009,” kata Mohd Nazlan.
Di media-media sosial ramai pemimpin Pakatan Harapan yang gembira dengan keputusan yang dibuat oleh Hakim Mohd. Nazlan hari ini.
Ada yang meminta rakyat agar berterima kasih kepada Kerajaan Pakatan Harapan kerana menyeret Najib ke mahkamah sehingga Ahli Parlimen Pekan itu didapati bersalah dan seterusnya dihukum.
Menurut mereka hukuman tersebut terbukti membenarkan segala tuduhan yang dilemparkan terhadap Najib adalah benar selama ini.
Namun tidak pula ramai yang mahu mengakui bahawa dengan jatuhnya hukuman terhadap Najib membuktikan bahawa sama ada Najib, Muhyiddin atau Barisan Nasional tidak langsung mempunyai kuasa untuk mengawal sistem kehakiman negara.
Mahkamah masih bebas membuat keputusan tanpa dipengaruhi oleh pihak eksekutif. Hakim masih bebas membuat keputusan tanpa dikawal oleh sesiapa termasuk pemimpin kerajaan.
Mereka yang masih sangsi terhadap ketelusan kerajaan Perikatan Nasional pastinya akan membuka mata mereka hari ini, selepas bekas perdana menteri, bekas presiden parti yang mempunyai kerusi paling banyak di Dewan Rakyat dan yang juga merupakan anggota Parlimen kerajaan didapati bersalah oleh hakim dan mahkamah.
Jika kerajaan Perikatan Nasional menyalahgunaakan kuasa dan tekanan terhadap mahkamah dan hakim sudah tentu keputusan terhadap Najib akan berlainan hari ini.-SM