Acara

HTF jadi pusat peperiksaan bagi Peperiksaan MRCP(UK) PACES

KANGAR 18 Feb. – Hospital Tuanku Fauziah (HTF) kini secara rasmi dilantik sebagai pusat peperiksaan bagi Peperiksaan MRCP(UK) PACES, sebuah ujian yang direka untuk menilai pengetahuan klinikal dan kemahiran doktor pelatih dalam persediaan ke peringkat kepakaran yang lebih tinggi.

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Binti Almarhum Tengku Abdul Rashid berkenan berangkat menghadiri ‘Perlis MRCP Centre Examiners Lunch’ di The Putra Regency Hotel, Persiaran Jubli Emas, Kangar.

Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Pengarah Kesihatan Negeri Perlis, Dr. Ghazali Chik dan Presiden Kolej Perubatan Malaysia, Professor Datuk Seri Dr. Paras Doshi.

Dalam ucapan aluannya, Dr. Paras menzahirkan rasa bangga atas pengiktirafan yang diterima HTF, menjadikannya satu-satunya pusat peperiksaan di dunia yang menjadi tuan rumah bagi kedua-dua peperiksaan MRCP(UK) dan MRCPI.

“Tanggungjawab ini memerlukan tenaga yang mahir dan berpengalaman dalam memahami format dan keperluan yang berbeza bagi setiap peperiksaan. Saya berbesar hati melihat HTF berjaya mengawal kedua-dua peperiksaan ini dengan standard tertinggi, hasil sokongan Jabatan Kesihatan Negeri Perlis dan dedikasi pasukan HTF”, katanya.

Beliau turut menambah bahawa kejayaan ini mencerminkan komitmen Perlis dalam menjadikan negeri ini sebagai hab pendidikan perubatan pascasiswazah, seiring dengan visi Tuanku Raja Perlis, Tuanku Raja Perempuan Perlis dan Tuanku Raja Muda Perlis.

Sebagai rekod, HTF kini menampung jumlah pelatih tertinggi dalam program Sarjana tempatan dan ‘Parallel Pathway’, yang secara tidak langsung memperkasakan mutu perkhidmatan kesihatan di hospital ini.

Selain itu, HTF turut menerima pengiktirafan sebagai pusat latihan Tahun Dua bagi program Sarjana, berbanding sebelum ini yang hanya melibatkan latihan Tahun Pertama.

Dengan perkembangan ini, HTF terus mengukuhkan peranannya sebagai pusat kecemerlangan perubatan yang bertaraf antarabangsa.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button