Nasional

Hina mahkamah: Geramm bersolidariti bersama Malaysiakini

Gerakan Media Merdeka (Geramm) bersolidariti dengan portal berita Malaysiakini dan Ketua Pengarangnya Steven Gan.

Ini susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang telah membenarkan permohonan Peguam Negara Idris Harun untuk memulakan prosiding hina mahkamah terhadap Malaysiakini dan Gan berhubung komen pembaca mengenai badan kehakiman.

Dalam satu kenyataan, Geramm yakin dengan pengalaman yang dikumpul selama 20 tahun, Gan dan Malaysiakini akan mampu bertahan menghadapi apa jua kemungkinan yang berlaku.

“Geramm melihat tindakan ini akan memberi kesan kepada kebebasan bersuara dalam talian dan seterusnya kebebasan media di Malaysia.

“Tindakan mahkamah ini menjadi satu lagi hambatan dan cabaran kepada media, yang juga bergelut menghadapi kesan pandemik Covid-19.

“Tugas dan tanggungjawab media yang terutama ialah kepada pembaca. Di tengah krisis besar seperti pandemik ini, yang memberi kesan kepada seluruh kehidupan kita, media mempunyai peranan penting sebagai agen semak dan imbang terhadap pemerintah dan mereka yang berkuasa,” kata Geramm.

BACA Prosiding komital terhadap Malaysiakini dibenar

Geramm yakin sebagai media yang bertanggungjawab, Malaysiakini sudah melaksanakan tanggungjawabnya sewajar mungkin dan tidak harus ditekan untuk membuat tapisan kendiri yang seterusnya akan menghakis kebebasan yang diperjuangkannya.

Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan prosiding hina mahkamah terhadap portal berita Malaysiakini dan Gan berhubung komen pembaca mengenai badan kehakiman.

Panel tiga anggota yang diketuai oleh Hakim Rohana Yusof memutuskan hari ini bahawa pemohon – Peguam Negara Idrus Harun – telah berjaya mewujudkan prima facie untuk permohonan itu. Pengurusan kes ditetapkan pada 25 Jun dan prosiding akan bermula pada 2 Julai.

Satu permohonan ex-parte difailkan Idrus bagi memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Malaysiakini dan Steven Gan.

Dalam afidavitnya, Idrus yang juga bekas Hakim Mahkamah Persekutuan menjelaskan permohonan untuk prosiding komital itu berkaitan komen dalam artikel bertarikh 9 Jun lalu bertajuk “CJ orders all courts to be fully operational from July 1”.

Menurut Idrus, beliau mengetengahkan lima komen yang dirujuk dengan jelas membawa maksud bahan kehakiman melakukan salah laku, terlibat dalam aktiviti rasuah, tidak menegakkan keadilan dan mengkompromi integriti badan kehakiman.

Idrus  merupakan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan dan dilantik sebagai Peguam Negara pada 6 Mac lalu mengantikan Tan Sri Tommy Thomas yang meletakkan jawatan.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button