Himpunan esok: Zahid ingatkan ahli tanggung risiko sendiri. Polis ambil tindakan tegas
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan ahli parti itu supaya tidak menyertai satu perhimpunan yang dijadualkan berlangsung di Istana Kehakiman di Putrajaya esok.
Timbalan Perdana Menteri berkata mana-mana ahli yang masih mahu menyertai perhimpunan tersebut, perlu menanggung sendiri sebarang risiko yang akan dihadapi.
“Dalam hal itu, kita harap tidak ada penganjur-penganjur daripada mana-mana bahagian atau cawangan (UMNO) yang turut terlibat secara rasmi di perhimpunan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kuali Cafe@Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini hari ini.
Pada 3 Jan, Setiausaha Agung UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan parti itu membatalkan satu perhimpunan bagi menyokong bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijadualkan di Putrajaya.
Pembatalan itu dibuat selepas Istana Negara memaklumkan permohonan pengampunan atau pengurangan hukuman bagi mana-mana banduan hendaklah dikemukakan sendiri oleh banduan berkenaan untuk dipertimbangkan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Aidi Sham Mohamed menerusi kenyataan hari ini berkata tindakan tegas akan diambil ke atas individu yang menyertai perhimpunan berkenaan, kerana ia tidak mendapat kebenaran pemilik tanah sekali gus tidak mematuhi syarat-syarat Akta Perhimpunan Aman 2012.
Mahkamah Rayuan menetapkan esok sebagai tarikh pendengaran rayuan bekas perdana menteri itu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Adendum.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan oleh Najib bagi mengemukakan keterangan tambahan berhubung Titah Adendum yang dikatakan dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong terdahulu mengenai tahanan rumah.
Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana individu yang menyertai Himpunan Solidariti Datuk Seri Najib Razak di Istana Kehakiman, Putrajaya pada Isnin kerana ia melanggar undang-undang.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, perhimpunan menyatakan solidariti kepada bekas Perdana Menteri itu tidak mendapat kebenaran disebabkan tidak mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.
“Kita juga akan melaksanakan sekatan jalan raya di jalan-jalan masuk ke Putrajaya dan melakukan pemeriksaan ketat ke atas semua yang memasuki kawasan itu.”‘Ia adalah bagi memastikan tidak ada sebarang senjata atau sepanduk yang mengandungi unsur-unsur jelik atau berbaur hasutan berhubung perhimpunan ini,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.
Sebelum ini media melaporkan, penganjuran Himpunan Solidariti oleh ahli UMNO itu adalah sebagai tanda sokongan dan setia kawan terhadap Najib kerana jasa besar beliau selama ini.
Istana Negara menerusi kenyataan mengingatkan semua pihak agar menghormati Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang ditetapkan, termasuk kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong berkaitan pengampunan kepada mana-mana banduan.
Menurutnya, kuasa Seri Paduka Baginda untuk memberi ampun, tunda dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya termaktub di bawah Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
Susulan itu, UMNO memutuskan untuk tidak meneruskan perhimpunan solidariti.
Namun, Pas tetap menggalakkan ahli parti hadir pada perhimpuan itu kerana menyifatkan solidariti itu sebagai isu rakyat dan tiada pihak boleh menyekat sesiapa saja yang mengambil berat mengenai solidariti itu kerana ia hak asasi.
Sementara itu, MIC pula menegaskan untuk meneruskan himpunan solidariti itu namun menukar lokasi dari Istana Kehakiman Putrajaya ke Batu Caves.