Luar Negara

Hidliyn Diaz tamatkan zaman bujang

Pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo dari Filipina, Hidliyn Diaz menamatkan zaman bujang apabila melangsungkan perkahwinan dengan jurulatihnya dari Guam, Julius Irvin T. Naranjo di Baguio City, Manila, Filipina, pada Selasa.

Bapa angkatnya yang juga Timbalan Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Ahmad Janius Abdullah berkata, Diaz mengenali Naranjo sejak lima tahun lalu dan mengambil keputusan untuk berkahwin selepas mencipta kejutan meraih emas dalam acara angkat berat 55 kilogram (kg).

Menurutnya, mereka telah memilih tarikh 26 Julai untuk mengadakan majlis perkahwinan kerana tarikh tersebut genap setahun dia melakar sejarah tersendiri menyumbang pingat emas pertama Filipina di temasya Sukan Olimpik.

Julius Irvin T. Naranjo mengalungkan pingat emas Sukan Olimpik Tokyo kepada Hidliyn Diaz pada majlis perkahwinan di Baguio City, Manila, Filipina pada Selasa.

Ahmad Janius yang turut menghadiri majlis tersebut di sebuah pusat peranginan tanah tinggi Baguio City berkata, majlis perkahwinan itu berlangsung meriah dihadiri sanak saudara dan rakan-rakan terdekat Diaz secara tertutup.

Lebih menarik katanya, pada majlis tersebut Naranjo mengalungkan pingat perak Sukan Olimpik Rio, Brazil dan pingat emas di Tokyo yang diraih oleh Diaz.

Beliau berkata, pasangan Diaz dan Naranjo bercadang akan mengadakan majlis resepsi di Kampung Kesang Tua, Jasin serta menjemput penduduk setempat pada September ini.

“Mereka berdua sudah merancang lama untuk mendirikan rumah tangga namun Diaz memilih tarikh 26 Julai kerana itu adalah tarikh keramat buat dia meraih pingat emas Olimpik.

“Walaupun sudah berkahwin Diaz memberitahu ia tidak menghalang dia meneruskan karier menyertai banyak kejohanan selepas pintu masuk semua negara telah dibuka semula selepas pandemik Covid-19,” ujarnya menerusi WhatsApp hari ini.

Ahmad Janius berkata, selepas ini Diaz akan kembali menjalani latihan dibantu suaminya dalam menghadapi Kejohanan Dunia dan kelayakan Sukan Olimpik di Colombia, Disember ini.

Jaguh angkat berat dari Filipina mencuri tumpuan di Tokyo apabila mendedahkan dia hanya berlatih
di parkir kereta milik Ahmad Janius di Kampung Kesang Tua, Jasin, Melaka sebagai persiapan ke Sukan Olimpik.

Dia menjalani latihan di situ selepas tersangkut di Malaysia sejak Februari 2020 apabila pintu masuk negara ditutup untuk semua penerbangan keluar dan masuk ekoran pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia ketika itu.

Diaz akhirnya memilih parkir kereta yang diubah oleh Ahmad Janius menjadi gimnasium sebagai tempat untuk dia membuat persiapan rapi menghadapi Sukan Olimpik Tokyo. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button