Nasionalpilihan

Hayati mesej kesederhanaan ibadah haji – Anwar

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak umat Islam di negara ini supaya menghayati mesej kesederhanaan yang terdapat dalam ibadah haji.

Dalam perutusan Hari Raya Korban, beliau menyeru setiap umat Islam supaya sentiasa tawaduk dan tidak terpukau dengan tarikan kemewahan dunia yang sementara.

“Peluang mengembara ke Mekah buat menunaikan Haji merupakan antara kurniaan besar Ilahi kepada hamba-Nya.

“Kita mengenang manasik Haji sebagai salah satu rukun Islam. Namun seyogia diingat, Haji punyai maqasid kerohanian yang tersendiri bertujuan merubah jiwa manusia agar lebih zuhud dan sederhana.

“Tatkala berihram dengan pakaian serba putih nan kosong, kita diasuh dengan nilai kebersihan dan kesederhanaan.

“Segala busana mewah dan lencana kehormat harus ditinggalkan.

“Demikian juga wuquf di Arafah, suatu perhimpunan raksasa tanpa mengira status, darjat dan pangkat, membugar rasa insaf dan tawaduk di hadapan Azza wa Jalla.

“Inilah tonggak kekuatan Haji yang tidak tertandingkan, terpancar menerusi penghayatan dan amalan.

“Atas iktibar ini saya mengajak umat Islam agar menghayati mesej kesederhanaan yang dipaculkan dalam ibadah Haji, agar sentiasa tawaduk dan tidak terpukau dengan tarikan kemewahan dunia yang sementara.

“Jangan kita terpesong dari tujuan. Dunia harus menjadi jambatan menuju negeri abadi. Sementara kita meraikan kemeriahan Aidiladha bersama keluarga, jangan dilupakan saudara asnaf di kota dan desa.

“Kongsilah nikmat Tuhan bersama mereka dan bahagiakan mereka dengan mengerjakan ibadah korban, sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya antara amalan yang paling disukai Allah ialah memasukkan kegembiraan ke dalam hati mukmin, iaitu melepaskan dia dari kesedihan, atau menyelesaikan hutang yang ditanggunginya, atau memberinya makan ketika dia kelaparan.” (hadith riwayat al-Bayhaqi).

“Akhirul kalam, saya turut mendoakan agar para jemaah yang kini berada di tanah suci beroleh Haji yang mabrur, dan semoga pulang ke tanah air dengan sejahtera,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button