Rencana

Hawana jangan jadi Hawauna…

MELAKA bakal menyaksikan satu lagi sejarah tercipta pada 29 Mei depan apabila sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) akan diadakan secara besar-besaran buat pertama kali di negara ini.

Inisiatif diambil oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan kerjasama Institut Akhbar Malaysia (MPI) dan Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (Iswami) bagi membawa rombongan wartawan dari negara Indonesia yang diketuai oleh menteri komunikasinya sendiri.

Mengimbau kembali tarikh berkenaan telah diumumkan oleh perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2018, ketika beliau dan kerajaan yang dipimpin beliau berdepan dengan serangan yang maha besar bukan sahaja daripada media utama, bahkan di dalam media sosial yang akhirnya menyaksikan kerajaan Barisan Nasional akhirnya tumbang.

Matlmat sambutan berkenaan adalah bagi memerangi berita tidak benar yang berleluasa apabila semua orang boleh menjadi wartawan walaupun tidak bertauliah dengan hanya memiliki akaun media sosial.

Tidak lama selepas kerajaan Barisan Nasional tumbang, syarikat akhbar Utusan Melayu terpaksa gulung tikar ketika usianya menjengah 80 tahun, kerana tidak mampu bertahan kerana tidak lagi disokong oleh kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

Selain membincangkan soal berita tidak benar, Hawana ini wajar membuka mata kerajaan dan pelbagai pihak khususnya korporat bahawa mereka mempunyai tanggungjawab bersama untuk memastikan media terus berfungsi dan terus hidup dalam ledakan media sosial.

Zaman jualan harian akhbar mencecah setengah juta sudah lama berlalu, kebanyakan media arus perdana kini hanya mampu mencatat jualan sekitar bawah 30,000 sehari dan pendapatan iklan juga semakin merosot.

Kebanyakan syarikat korporat lebih berbangga dengan laman web mereka yang lebih besar pengikut daripada laman web milik syarikat media.

Pemikiran begini sangat merbahaya kerana mereka tidak memahami peranan laman web media dengan laman web korporat.

Laman web korporat hanya sebatas melariskan bisnes syarikat, tetapi bagi media ia lebih daripada itu bagi memastikan keseimbangan penyebaran maklumat dan menjadi rujukan kepada masyarakat untuk memastikan kesahihan sesuatu berita.

Pembuangan petugas media secara besar-besaran oleh syarikat media juga menyaksikan lebih banyak portal berita yang dibukan oleh para wartawan yang masih mahu meneruskan dunia jurnalisme.

Kehadiran portal-portal kecil ini tidak boleh dipandang enteng, kerana ia lebih digemari oleh masyarakat lantaran lebih mengambil pendekatan menyajikan bahan yang enak di mata hati masyarakat.

Masyarakat lebih gemar membaca dan mudah menghadam berita yang disiarakan secara lebih santai dengan lengguk bahasa tidak terlalu terikat dengan disiplin kewartawanan serta gaya penulisan yang rigid.

Sikap lebih terbuka diambil kepimpinan negara pada ketika ini khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa memberi harapan kepada semua pihak di dalam media.

Media yang mengkritik kerajaan tidak dianggap musuh secara total tetapi diberi ruang dalam memberi pandangan secara tertutup dan terbuka berhubung dasar serta polisi kerajaan.

Kerajaan juga sering prihatin dalam membantu media untuk terus bertahan dalam asakan media sosial dan kini kerajaan lebih ringan tangan membuat bayaran kepada pihak media dan tidak lagi hanya mengharapkan kepada liputan percuma semata-mata.

Dunia hiburan pula masih lagi terbelenggu dengan pemikiran bahawa liputan media adalah percuma dan mereka lebih gemar menggunakan media sosial sehingga ada yang terlajak-lajak melanggar undang-undang yang ada dan ramai juga tersandung dek permainan media sosial sehingga mendapat kecaman yang tidak terhingga oleh warga media sosial.

Artis-artis ini perlu dicerdikkan bahawa publisiti murahan yang mereka cipta adalah ibarat gelembung buih yang tidak akan bertahan lama dan seringkali juga ia melemaskan mereka dalam sekelip mata.

Mereka juga perlu dicerdikkan bahawa jika mahukan liputan media bukan hanya dengan jamuan sepinggan mee sahaja. Mereka perlu bayar untuk mendapat liputan profesional.

Hawana ini diharap bukan sahaja membuka mata peri pentingnya media kepada pelbagai pihak, tetapi pengendali media sendiri supaya tidak lagi ‘melacurkan diri’ hanya kerana sepinggan mee.

Media harus bergerak seiring dengan majunya dunia dan media jangan mundur hingga berada lebih rendah daripada longkang dan sisa kumbahan.

Media perlu bijak memilih isu yang mahu dibawa bukan seperti anjing yang menunggu tulang dilempar untuk digonggong.

Meminjam kata kawan, cukuplah jadi budak suruhan, bila dipanggil datang dan berlalu pergi bila disuruh.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button