Nasional

Hasil risikan KDN sejak Oktober, 1,907 al-Quran tidak ikuti resam Uthmani dirampas

Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas 1,907 naskhah al-Quran dan 2,060 bahan bacaan bercetak mengandungi ayat daripada kitab suci itu bernilai RM100,000 dalam Ops Mulia di Bukit Mertajam, bulan lepas.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN Nik Yusaimi Yussof berkata kesemua al-Quran dan bahan bacaan itu dirampas kerana tidak mendapat kelulusan Lembaga Pengawalan dan Perlesenan Al-Quran (LPPPQ) KDN.

“Pihak kami telah menjalankan risikan sejak Oktober lepas sebelum menyerbu sebuah rumah pangsa di Taman Alma, Bukit Mertajam, 9 Jan lepas dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 40-an yang dipercayai penjual al-Quran serta bahan cetak tersebut.

“Hasil siasatan dijalankan, kami mendapati rumah itu disewa sejak tahun lepas dan kesemua naskhah serta bahan bacaan al-Quran itu diedar serta dijual oleh lelaki tersebut sebagai sumber pendapatan utama,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya pemeriksaan pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut mendapati al-Quran yang dirampas itu tidak mengikut resam Uthmani yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia.

Nik Yusaimi berkata kesemua naskhah al-Quran dan bahan bacaan itu dipercayai dibawa masuk dari Indonesia sebelum dijual menerusi platform dalam talian, kedai-kedai buku, diinfak dan diedarkan di seluruh negara.

Katanya al-Quran yang dirampas itu turut dibimbangi mengandungi kesalahan yang boleh menyebabkan kesilapan bacaan dan maksud yang tidak tepat.

“Al-Quran ini ada kandungannya yang turut dieja dalam tulisan rumi, Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum ini sudah mengharamkan sebarang ejaan ayat suci al-Quran dalam tulisan rumi,” katanya dan kes itu disiasat di bawah Akta Pencetakan Teks Al-Quran (APTQ) 1986 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984.

Beliau berkata setakat ini, terdapat 912 pruf akhir teks al-Quran di Malaysia iaitu penerbitan al-Quran yang telah diluluskan KDN.

Mengulas mengenai Ops Mulia yang dilaksanakan di Pulau Pinang dan Selangor awal tahun ini, Nik Yusaimi berkata pihaknya merampas naskhah dan bahan bacaan al-Quran bernilai keseluruhan RM160,000.

— BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button