Hari yang sungguh memalukan UMNO
APABILA ROS memaklumkan UMNO tidak lagi absah kepimpinannya kerana gagal memaklumkan keputusan MKT sebelum 30 Jun lalu, ia menjadi hari paling memalukan parti itu.
Ini bermakna segala keputusan yang dibuat oleh MKT selepas 30 Jun lalu adalah tidak sah kerana kepimpinan yang ada hanya sementara sehingga pemilihan diadakan.
Parti-parti lain yang berusia setahun jagung seperti AMANAH juga tidak menghadapi masalah bagi menangguhkan pemilihan parti kerana krisis pandemik Covid-19.
Ini UMNO parti yang berusia puluhan tahun dengan lebih 3 juta ahli untuk memaklumkan perkara yang mudah itu juga telah gagal.
Kegagalan itu berpunca daripada lemahnya kepimpinannya yang ada kerana terlalu memikirkan kaedah untuk menyelamatkan diri daripada sabitan kes mahkamah.
UMNO kini ditadbir urus oleh kluster mahkamah yang sepatutnya telah melepaskan jawatan masing-masing supaya tidak menjejaskan atau mengheret parti bersama-sama ke dalam kancah serta krisis perundangan dan kehakiman.
Kebanyakan mereka tidak dapat berfungsi sepenuh masa kerana terpaksa berulang-alik menghadiri perbicaraan kes dan ini bukan sahaja menghilang tumpuan kepada urusan parti, tetapi juga urusan ahli UMNO dan rakyat.
Jadi UMNO harus menjadi kekhilafan ini untuk memilih pemimpin yang lebih sesuai untuk menerajui parti keramat orang Melayu itu daripada diletakkan ke tangan pemimpin yang bermasalah yang bakal memendekkan hayat UMNO.
Jika para pemimpin UMNO mempertikaikan keabsahan kerajaan, dan keputusan menangguhkan sidang Dewan Rakyat, kini parti itu perlu membuktikan keabsahannya dan membukti mereka mempunyai cara untuk mengadakan pemilihan ketika negara menghadapi krisis pandemik Covid-19.
Jangan hanya bercakap, tetapi apabila di tahap pembikinan ia tidak serupa. Jangan jadi seperti ayam yang berkokok berdera-derai, tetapi ekor penuh najis.
Rakyat sedang memerhati sandiwara apa lagi yang mahu dipersembahkan oleh para pemimpin UMNO. Jangan sampai rakyat memutuskan untuk menolak UMNO untuk kali kedua kerana kedegilan dan kebodohan pemimpinnya.