Hiburan

‘Hari Mulia’ Lagu Raya Berkonsep Sixties Tampilkan TikTokers Popular

DENGAN membawa kembali konsep lagu Raya berirama muzik sixties, komposer Zulkefli Majid atau lebih dikenali sebagai Zul (2 by 2) telah menghasilkan sebuah lagu raya baharu bertajuk “Hari Mulia”. Lirik lagu ini merupakan hasil tulisan tangan Bonda Puteri, sementara penyanyi yang ditampilkan terdiri daripada TikTokers popular Syafiq Sahli, Bos Wan, dan Maya.

Menurut Zul, pemilihan Syafiq Sahli dan Syafiq Salleh sebagai penyanyi utama dibuat kerana keserasian mereka serta kemampuan bekerjasama dengan baik.

“Memandangkan lagu ini mempunyai elemen muzik sixties, kami merasakan ia lebih sesuai dinyanyikan oleh lelaki. Nama yang terlintas ketika itu ialah Syafiq Sahli. Setelah berbincang dengan Bonda Puteri, beliau turut bersetuju dengan pemilihan ini.

“Kemudian, saya menghubungi Safee Sali untuk mendapatkan pandangannya. Beliau mencadangkan agar lagu ini turut dinyanyikan bersama Bos Wan kerana mereka berdua mempunyai chemistry yang kuat. Mereka sering berinteraksi di TikTok dan memiliki hubungan yang baik. Saya bersetuju tanpa ragu-ragu, dan akhirnya projek ini dimulakan,” jelas Zul ketika ditemui di majlis pelancaran lagu semalam.

Tambahnya lagi, objektif utama penerbitan “Hari Mulia” adalah untuk mencipta sebuah lagu raya yang segar dan rancak, bukan bernada sedih seperti kebanyakan lagu raya klasik.

Gabungan Muzik Sixties & TikTokers, ‘Hari Mulia’ Tawar Kelainan”

 

“Kami mahu memberikan sesuatu yang lebih ceria kepada pendengar. Oleh itu, kami memilih muzik berkonsepkan sixties kerana elemen ini lebih mudah diterima oleh semua peringkat umur,” katanya.

Sementara itu, para penyanyi yang terlibat dalam lagu ini turut berkongsi perancangan mereka untuk memperkenalkan lagu tersebut kepada umum.

“Kami akan melancarkan cabaran tarian (dance challenge) bagi lagu ini di media sosial. Walaupun belum ada tarikh rasmi untuk memulakannya, kami yakin ia akan membantu menaikkan populariti lagu ini.

“Kami tidak bercadang untuk menggunakan gimik murahan atau mencipta kontroversi semata-mata untuk meraih perhatian. Berbeza dengan strategi pemasaran lama yang bergantung kepada gosip, kami lebih fokus kepada pengikut sedia ada dan interaksi organik di platform digital,” jelas mereka.

Dalam pada itu, kedua-duanya menegaskan bahawa mereka tidak bercadang untuk menjadi artis sepenuh masa kerana lebih selesa dengan kerjaya sebagai pencipta kandungan digital (content creator).

“Kami lebih suka menghiburkan orang dengan cara kami sendiri. Rezeki dalam bidang ini datang tanpa dirancang, dan kami menerimanya dengan hati terbuka.

Tambah Bos Wan untuk terus kekal relevan dalam dunia digital perlu konsisten dalam melakukan konten yang menarik untuk orang ramai.

“Saya sendiri telah aktif di TikTok lebih setahun dan semakin memahami bagaimana platform ini berfungsi. Untuk kekal relevan dalam dunia digital, kita perlu konsisten dan sentiasa menawarkan kandungan yang menarik. Oleh itu, saya telah membina studio sendiri di rumah bagi menghasilkan kandungan berkualiti tinggi,” ujar salah seorang penyanyi lagu ini.

Beliau turut berkongsi kejayaannya dalam dunia TikTok apabila pernah memenangi sebuah acara besar platform tersebut pada tahun 2023 dan kini sedang memberi fokus kepada acara tahun 2024. Demi memberi tumpuan sepenuhnya kepada dunia digital, beliau juga telah menolak beberapa tawaran lakonan.

“Saya bersyukur dengan perjalanan saya dalam dunia hiburan dan digital. Saya akan terus berkarya dan membawa sesuatu yang segar kepada penonton serta peminat,” tambahnya lagi.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button