Harga ayam di sekitar cheras masih di bawah paras Rm8
Kebanyakan harga ayam di sekitar Cheras dijual pada harga di bawah paras RM8 bagi setiap kilogram.
Tinjauan Suara Merdeka di beberapa kawasan mendapati kebanyakan peniaga menjual ayam pada harga sekitar RM7 sekilogram.
Menurut seorang suri rumah, Asmah Zaid, 56, dia berharap peniaga bertimbang rasa dan tidak menaikkan harga sesuka hati.
“Faham subsidi ayam dah tiada dan harga pun diapungkan tetapi itu bukan bermakna harga ayam boleh dinaikkan sesuka hati.
“Sebagai pengguna, kita harap kerajaan terus bagi subsidi terhadap barangan yang melibatkan keperluan harian rakyat,” ujarnya.
Asmah berkata demikian ketika ditemu bual Suara Merdeka dalam satu tinjauan di sekitar Cheras.
Dalam pada itu, seorang peniaga makanan, Mustaqim Ikmal, 32, melihat jika harga ayam dinaikkan oleh penjual ayam tanpa kawalan, peniaga kecil-kecilan akan terjejas.
“Macam kami peniaga di jalanan, modal kecil dan harap dapat beli barang dengan harga yang sepatutnya.
“Risau juga dengan penjual ayam di sesetengah tempat yang kadang-kadang naikkan harga ayam secara bebas,” katanya.
Mustaqim juga berharap pihak berkuasa yang berkaitan terus membuat pemantauan berterusan bukan pada hari pertama sahaja kerana tindakan penjual ayam menaikkan harga agak sukar untuk dijangka. – SM