Hanya pesakit Covid-19 yang bergejala dirawat di hospital, yang lain kuarantin di rumah
KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menetapkan hanya pesakit Covid-19 yang bergejala sahaja akan dirawat di hospital mulai 1 Januari lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, bagi, pesakit tahap satu dan dua mereka hanya perlu menjalani rawatan serta kuarantin di rumah, dengan pemantauan ketat oleh petugas kesihatan.
Selain itu katanya, satu pasukan khas diwujudkan di peringkat Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC), peringkat negeri dan daerah bagi memantau pesakit yang dirawat di rumah.
“Tindakan ini dilaksanakan kerana kita perlu cepat untuk buat rawatan dan pengasingan terhadap kes positif dan dengan ini, Kementerian Kesihatan terus buat pengesanan kontak bagi melandaikan lengkuk Covid-19,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2021 KKM di Putrajaya hari ini.
Beliau memberitahu, tempoh 10 hari akan diberikan kepada pesakit tahap satu dan dua untuk berada di rumah sebelum perlu menjalani ujian saringan pada hari terakhir.
“Ujian saringan akan dibuat pada hari ke-10 di rumah masing-masing dan jika mereka negatif, ini bermaksud mereka telah bebas dari Covid-19,” katanya.
Dr Adham berkata, keluasan rumah serta bilangan isi rumah akan dinilai terlebih dahulu sebelum membenarkan pesakit Covid-19 tahap satu dan dua terbabit menjalani rawatan di rumah.
“Pasukan penilai telah diwujudkan bagi meneliti kesiapsiagaan isi rumah serta keadaan rumah, kerana jika rumah kecil, pesakit akan dibawa ke hospital.
“Sekiranya fasiliti rumah mencukupi dan ada bilik untuk diasingkan, serta keluarga memahami isu kuarantin dan pengasingan, selain memahami prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan KKM, mereka akan dirawat di rumah,” katanya. – SM