Hak wanita OKU dinafikan
PANDU lalu merupakan satu kemudahan yang diberikan kepada pelanggan untuk membuat pesanan makanan tanpa perlu masuk ke dalam premis.
Tidak dinafikan ia memang memudahkan golongan biasa tetapi bukan bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU) kerana tidak semua tempat menyediakan kemudahan bagi golongan tersebut.
Terbaru, tular di media sosial TikTok sebuah video memaparkan seorang wanita OKU pekak dan bisu meluahkan rasa kecewa terhadap sebuah restoren makanan segera.
Jelas wanita berkenaan, dia tidak dibenarkan membeli makanan secara pandu lalu sedangkan sebelum ini dia pernah membeli di restoren tersebut tanpa ada sebarang masalah.
“Sebenarnya saya kecewa. Tadi saya masuk pandu lalu, ‘screen’ cakap nak apa, tapi saya tak boleh dengar dan cakap.
“Hari itu staff yang saya kenal cakap boleh pandu lalu. Saya tulis apa-apa atau tunjuk menu yang saya nak. Staff tu baik dan faham saya pekak.
“Tapi hari ini saya pergi melalui pandu lalu yang sama, tiba-tiba muncul staff lain suruh pergi ke kaunter dalam.
“Saya tanya kenapa tak boleh ambil order? Saya pekak kena pergi kaunter semula?,” tulisnya dalam video tersebut.
Menurutnya, dia berasa sangat kecewa kerana tidak dapat membeli makanan secara pandu lalu sedangkan dia telah siapkan gambar untuk ditunjukkan.
Wanita berkenaan juga berharap pihak restoren berkenaan dapat meningkatkan khidmat yang lebih baik.
Sementara itu, diruangan komen rata-rata netizen berasa simpati terhadap nasib golongan ini dan ada yang menyarankan agar semua restoren yang menawarkan khidmat pandu lalu membenarkan golongan OKU menggunakan perkhidmatan tersebut. -SM