Hafizh buktikan dirinya masih kompetitif
Pelumba itu menamatkan aksinya di kedudukan kesembilan pada Grand Prix Itali
HAFIZH Syahrin Abdullah terus mengibarkan Jalur Gemilang dalam perlumbaan kejuaraan motosikal dunia, musim ini, dan menjadi satu-satunya pelumba Malaysia yang masih bertahan meneruskan perjuangan.
Jika satu ketika dahulu, Malaysia berbangga memiliki lebih daripada seorang wakil dalam kejuaraan dunia, tetapi kali ini hanya pelumba yang bernaung di bawah pasukan NTS RW Racing itu yang masih belum berputus asa meneruskan kariernya.
Walaupun, terpaksa berdikari menguruskan kariernya sendiri, Hafizh membuktikan pengalaman yang diraihnya sejak 10 tahun lalu dalam kejuaraan dunia telah banyak membentuknya menjadi pelumba yang berkualiti dan kompetitif.
Ini dibuktikannya menerusi pencapaian terbaru pelumba berusia 27 tahun itu pada Grand Prix Motosikal Itali yang berlangsung di Litar Antarabangsa Mugello, Itali, semalam.
Anak muda itu yang terpaksa mengharungi pelbagai cabaran getir sebelum musim 2021 membuka tirai, akhirnya membuktikan dia masih relevan dan mampu memberikan tentangan sengit apabila melengkapkan saingan di kedudukan kesembilan dalam perlumbaan di Mugello itu.
Hafizh meraih tujuh mata berharga yang merupakan kutipan mata keduanya selepas berjaya mengutip satu mata di Grand Prix Perancis, Le Mans, dua minggu lalu.
Menerusi catatan masa 39 minit 52.516 saat (s), meletakkan anak kelahiran Ampang, Selangor itu menamatkan aksinya dalam kelompok 10 terbaik, walaupun motosikal NTS yang dipacunya masih belum mempamerkan prestasi yang diharapkan.
Pelumba Australia, Remy Gardner yang menunggang jentera Kalex menjuarai perlumbaan tersebut dengan catatan masa terpantas 39:17.667s, manakala rakan sepasukannya dalam Red Bull KTM Ajo, Raul Fernandez menghuni tempat kedua (39:17.681s) dan kedudukan ketiga menjadi milik Marco Bezzecchi dari Itali (39:25.688s).
Hafizh dalam kenyataannya kepada media di tanah air melahirkan rasa syukur terhadap kejayaannya itu, walaupun dia terpaksa bekerja keras kerana jentera NTS memiliki kelemahan di laluan lurus sehingga memudahkan pelumba lain memintasnya.
“Pada minit terakhir saya dipintas oleh Cameron Beaubier, dan melengkapkan aksi di kedudukan kesembilan. Saya berdepan kesukaran setiap kali berada di laluan lurus.
“Saya sukar hendak dapatkan kelajuan dan saya dah cuba yang terbaik, tetapi pelumba lain berjaya memintas saya.
“Apa yang boleh saya lakukan ialah cuba bersaing ketika berada di breaking dan di selekoh,” katanya.
Hafizh yang kini mengumpul lapan mata untuk berada di kedudukan ke-21 dalam kejuaraan motosikal dunia bagi kelas Moto2 menjelaskan, motosikal yang dipacunya masih memiliki kekurangan aero dinamik.
“Masalah tersebut atau kelemahan pada kelajuan pada jentera NTS perlu diperbaiki. Namun, apa pun saya berterima kasih kepada pasukan, penaja dan rakyat Malaysia yang sentiasa menyokong karier saya,” ujarnya.
Sementara itu, Hafizh turut mengucapkan sekalung takziah kepada keluarga pelumba Moto3, Jason Dupasquier yang meninggal dunia setelah terlibat dalam kemalangan semasa sesi kelayakan Grand Prix Itali.
Pelumba berusia 19 tahun yang mewakili pasukan Pruestel GP dari Switzerland itu mengalami kecederaan serius selepas terjatuh di selekoh ke-9 sebelum dilanggar pelumba lain.
“Ingatan saya kepada Jason, perlumbaan ini saya dedikasikan untuk Jason,” jelas Hafizh. – SM