Nasional

Guru perlu sabar hadapi cabaran pendidikan

 “Cikgu perlu bersabar mendidik anak-anak murid sebagai ibu bapa kedua mereka di sekolah kerana apa yang kita semai, itulah yang akan kita tuai,” demikian pesanan penerima anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2020, Nor Hainei Abu Bakar.

Bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan Jalan 3, Bandar Baru Bangi, Selangor itu berkata walaupun ada sesetengah pihak mempersoalkan kononnya guru tidak menjalankan tugas seperti biasa ekoran wabak COVID-19, namun guru-guru perlu bersabar dan terus komited memberi pendidikan kepada anak didik.

“Walaupun masa kini sesi pembelajaran tidak diteruskan secara formal di bilik darjah, tetapi pembelajaran masih diteruskan, ini adalah hasil didikan dan ketekunan cikgu,” katanya ketika ditemui media.

“Kita juga lihat sewaktu negara menghadapi wabak ini, ramai ibu bapa yang risau untuk menjaga dan membantu pelajaran anak-anak yang bukannya senang.

“Tapi cikgu pula, paling ramai boleh mengajar sehingga 50 orang anak murid yang mempunyai pelbagai ragam tetapi masih boleh bersabar untuk menjaga dan mendidik sebagai ibubapa kedua mereka di sekolah ,” katanya.

Berkongsi pengalaman berkhidmat sebagai guru selama 36 tahun, Nor Hainei berasa terharu apabila ramai anak muridnya yang masih mengingati beliau.

“Bila bertemu anak murid yang telah berjaya seperti di pejabat imigresen dan hospital, mereka akan menyapa saya dan membantu mempermudahkan urusan saya, ini bagi saya adalah hasil apabila kita melaksanakan tugas dengan ikhlas,” katanya.

Pada masa yang sama Nor Hainei turut berpesan kepada guru-guru supaya menerapkan elemen kolaborasi dan komunikasi yang baik bagi membolehkan pelajar dapat memberikan pandangan mereka secara terbuka.

“Sesuai dengan tema tahun ini, ‘Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu’, jadi guru perlu seiring dengan perubahan generasi baharu dengan memahami dan mahir dengan mata pelajaran yang diajarkan serta menyayangi anak murid dan mempunyai kemahiran kaunseling untuk mendekati mereka,” katanya.

Bekas Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi) Aminudin Adam pula telah dipilih sebagai Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2020.

Bersyukur atas anugerah yang diterimanya, Aminudin berkata  beliau melihat tugas kepimpinan sektor pendidikan pada abad ke-21 makin mencabar kerana perlu menyediakan satu persekitaran yang kondusif di peringkat sekolah bagi melahirkan modal insan yang berkualiti.

“Dalam keadaan sekarang pembelajaran maya adalah sangat penting maka guru-guru perlu dilengkapkan dengan kemahiran  penggunaan perkakasan teknologi terkini. Sebab itu kepimpinan pendidikan adalah untuk memastikan guru-guru ini sentiasa diberikan pendedahan kepada metodologi  yang terkini,” katanya.

Kedua-dua tokoh itu menerima anugerah itu daripada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2020.

Kedua-dua tokoh masing-masing menerima hadiah berupa wang bernilai RM50,000 dan sijil penghargaan. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button