Guru enggan vaksin tak dibenarkan mengajar
GURU yang enggan mengambil suntikan vaksin Covid-19 tidak akan dibenarkan mengajar secara bersemuka ketika sesi persekolahan dibuka pada 3 Oktober nanti.
Perkara itu ditegaskan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin selepas menghadiri Sesi Libat Urus Menteri Kanan Pendidikan Bersama Guru Sekolah Rendah Negeri Perlis di Kangar hari ini.
Beliau berkata, ini kerana timbul persoalan terhadap guru yang enggan menerima vaksin itu.
“Pada waktu ini, terdapat 2,500 guru enggan divaksinkan di negara ini dan kita akan terus mengadakan sesi libat urus bersama mereka.
“Apabila sekolah dibuka kelak, guru yang tidak divaksinkan ini tidak boleh mengajar secara bersemuka di dalam kelas serta berinteraksi dengan pelajar.
“Namun begitu, Kementerian Pendidikan akan mengeluarkan garis panduan tugasan untuk guru yang tidak divaksin ini dan pada masa sama, kita sedang berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkenaan tindakan yang boleh diambil terhadap guru yang masih belum divaksinkan ini,” katanya.
Katanya, tindakan yang diambil itu adalah mengambil kira keadaan semasa terutama menjelang pembukaan sekolah kelak.
“Jumlah ini tidak ramai dan hanyalah segelintir daripada lebih 400,000 guru di negara ini jadi kita hendak jaga anak kita di sekolah supaya ibu bapa yakin persekitaran di sekolah itu selamat untuk anak kita.
“Ada guru yang tidak dapat divaksin ini atas masalah kesihatan namun ada juga guru yang memberi alasan seperti tidak yakin akan keberkesanan vaksin ini menyebabkan mereka menolak untuk menerima vaksin ini serta pelbagai alasan lagi.
“Segala alasan yang diberikan ini akan diteliti satu persatu dan kita minta supaya pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Pusat Pendidikan Daerah (PPD) bertemu dengan jelaskan kepada guru ini terhadap keperluan vaksin ini kerana kita mahu pastikan ekosistem keseluruhan sekolah ini adalah selamat untuk anak kita,” katanya.
Menurut Radzi, sehingga kini sebanyak 85.26 peratus guru di negara ini sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.
“Sementara itu, sebanyak 96.7 peratus sudah menerima satu dos vaksin dan pada masa sama juga, kakitangan sokongan di sekolah termasuk pekerja kantin, kita turut mahu pastikan staf sokongan sekolah yang terdiri sektor pekerja kantin, kebersihan dan keselamatan divaksinkan,” katanya.