NasionalNegeriTravel

Guna media sosial promosi produk pelancongan, makanan Perlis

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah supaya pengusaha pelancongan, hotel, rumah inap atau homestay dan premis makanan di negeri ini lebih agresif menggunakan media sosial dan medium lain bagi mempromosi produk mulai bulan ini.

Titah Baginda, ini berikutan berdasarkan jangkaan, Perlis bakal menerima ribuan pengunjung dari seluruh negara kerana sesi Istiadat Konvokesyen anak-anak atau waris Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) yang akan disempurnakan oleh Baginda selaku Canselor dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro Canselor untuk penganugerahan ijazah diadakan pada bulan ini.

Berikutan itu, dalam titah Baginda mahukan tahap kebersihan, susun atur dan keceriaan setiap premis dan juga tempat-tempat awam dilipatgandakan.

Titah Baginda lagi, kemesraan perkhidmatan dengan sentiasa mengukir senyuman dan membantu para pengunjung perlu dipertingkatkan serta tawarkan harga yang berpatutan supaya pengunjung akan datang lagi ke Perlis.

Related Articles

“Dengan kekerapan hujan pada musim ini, setiap pengusaha perlu ada alternatif bagi menjamin keselesaan pengunjung dan memudahkan warga kerja ditempat masing-masing memberi perkhidmatan terbaik,” titah Baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, Istiadat Konvokesyen Ke-16 UniMAP nanti dijangka akan melibatkan kira-kira 2,800 penerima yang akan diadakan di Dewan Ilmu, UniMAP Pauh Putra dari 21 hingga 24 November.

Titah Baginda lagi, ia akan disusuli dengan Istiadat Konvokesyen Ke-17 pada 26 hingga 29 November yang akan melibatkan 3,000 penerima dilokasi yang sama.

Baginda bertitah, diikuti pula Istiadat Konvokesyen Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) pada 12 November di Dewan Harumanis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Pauh Putra melibatkan 215 penerima.

Titah Baginda lagi, Kejohanan Woodball Terbuka Perlis (Perlis Open) 2022 anjuran Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNPs) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Perlis pula akan berlangsung mulai 25 hingga 27 November di Laman Woodball Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra UniMAP, Pauh Putra.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan menerima kunjungan mengadap delegasi dari The Policies and Strategies for Economic and Social Development (PSED) Foundation Phuket, Thailand ke Perlis yang diadakan di
Masjid Al-Abrar Kubang Gajah baru-baru ini.

Rombongan tersebut diketuai oleh dua Naib Presiden PSED iaitu Sodri Islam dan Kitrawee Pakornariyaphak bersama ahli jawatankuasanya, Police Liuetenant Colonel Salan Santisatsanakul, Ilya Aleemeen, Witoon Sirasantipong dan Arunporn Eangchuan.

Lawatan ke Perlis ini bagi mempromosikan persidangan antarabangsa Phuket Dialogue Prelude 2022 dengan tajuk Transforming Phuket’s Future : Unlocking Business Investment Opportunities pada 9 hingga 11 November ini.

Selain daripada itu, titah Baginda di negeri jiran pula akan berlangsung Istiadat Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) Ke-34 di Dewan Mu’adzam Shah pada 6 hingga 10 November.

“Pastinya mereka yang datang untuk konvokesyen ini tidak akan melepaskan peluang ‘terus lajak’ ke Perlis bagi menikmati makanan yang lazat-lazat serta melawat tempat-tempat menarik baru yang lain di samping berbelanja di Padang Besar,” akhiri titah Baginda. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button