Ramai golongan muda terutama graduan daripada institut pengajian tinggi awam (IPTA) tidak berminat bekerja di sektor perhotelan di negeri ini selepas tamat pengajian masing-masing.
Timbalan Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH-Melaka Chapter), Huzaidy Adnan berkata, situasi itu menjadi antara punca utama kekurangan tenaga kerja di sektor perhotelan di negeri ini sejak berakhirnya pandemik Covid-19.
Menurutnya, sebahagian besar ahli MAH-Melaka Chapter masih gagal mendapatkan tenaga kerja walaupun permintaan dalam industri itu meningkat pada masa ini.
“Ramai anak-anak muda dan graduan perhotelan tidak lagi yakin untuk bekerja di sektor ini sejak pandemik Covid-19 menyebabkan ramai pekerja diberhentikan kerja dan hotel terpaksa ditutup akibat menanggung kerugian.
“walaupun pandemik ini sudah berakhir dan sektor perhotelan sudah mula
berkembang namun mereka masih sangsi untuk mengisi kekosongan tenaga kerja yang sedia ada sebaliknya bekerja di bidang lain.
“Keadaan ini jika tidak diatasi segera adalah satu kerugian besar dalam sektor perhotelan bukan sahaja di negeri ini tetapi seluruh negara apabila kita tidak mempunyai tenaga muda untuk mewarisi kerjaya ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Peluang Kerjaya Sektor Perhotelan Bersama Institusi Pendidikan Di Negeri Melaka yang disertai 160 pelajar dari empat IPTA/IPTS di Hotel Seri Malaysia, Ayer Keroh di sini hari ini.
Program tersebut pelajar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Alor Gajah; Universiti Melaka (UNIMEL), Universiti Geomatika Malaysia Melaka(UGM) dan Politeknik Merlimau Melaka (PMM).
Sehubungan itu Huzaidy berkata, pemain industri perlu menganjurkan lebih banyak bengkel berkaitan sektor perhotelan dan peluang-peluang pekerjaan yang ditawarkan bagi memberi keyakinan semula kepada golongan tersebut.
“Pada program hari ini saya dapat lihat banyak soalan-soalan daripada pelajar lebih tertumpu kepada peluang kerjaya dan masa depan jika bekerja di sektor perhotelan,” ujarnya.
Sementara itu Presiden Persatuan Budget dan Business Hotel Malaysia (MyBHA) Melaka, Norsalenawaty Mohammad Salleh berkata, sebahagian besar daripada 178 ahli mengakui kesukaran untuk mendapatkan tenaga kerja khususnya di bahagian operasi.
Menurutnya, situasi itu berlaku sejak penularan pandemik Covid-19 yang
menyebabkan banyak hotel bajet terpaksa menutup operasi dan ramai pekerja terpaksa diberhentikan.
“Hingga hari ini kita susah untuk mendapatkan tenaga kerja khususnya daripada graduan universiti di sektor perhotelan. Mereka tidak lagi yakin untuk bekerja di sektor ini,” ujarnya.
Justeru katanya, ramai bekas pekerja hotel sudah bekerja di sektor lain dan mereka tidak mahu kembali bekerja kerana takut serta bimbang berlaku semula penularan Covid-19. – SM