Politik
Golongan yang mahukan Melayu berpecah adalah ejen DAP
SESIAPA sahaja yang mahu Melayu berpecah dan menjadi lemah terutama ketika menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah ejen DAP.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wam Jan berkata, ini termasuk mereka yang cuba memecahbelahkan undi Melayu yang akan menghasilkan ketidakstabilan politik lantas menyukarkan proses menjaga kebajikan rakyat semua kaum dan agama.
“Saya membaca dan menyokong seruan Timbalan Presiden Pas. Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyeru agar muafakat politik yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional diteruskan bukan sahaja sampai PRU15 tetapi sampai selepas PRU nanti.
“Saya bersetuju dengan pandangan ini. Perpecahan undi Melayu akan menghasilkan ketidakstabilan politik yang tidak sudah, lantas menyukarkan proses menjaga kebajikan rakyat semua kaum dan agama.
“Kestabilan penting untuk pembinaan semula ekonomi negara. Dalam keadaan kita tahu bahawa DAP dan PH memang mahukan undi Melayu terpecah untuk mereka kembali berkuasa, sudah pasti seruan untuk menjaga muafakat politik ini mesti dipandang serius oleh semua yang ikhlas.
“Bagi saya, sesiapa sahaja yang sengaja mahu kita berpecah dan mahu kita lemah, maka mereka adalah agen DAP dan PH,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Katanya, DAP dan PH memang mahukan penjajaran baharu yang melemahkan Perikatan Nasional (PN) melalui ejen-ejen mereka yang dalam pelbagai bentuk.
“Saya juga amat menghargai pandangan YB Dato Sri Tuan Ibrahim yang dilaporkan berkata “Bila kita dukung kerajaan, kita dukunglah kerajaan (PN) ini. Jangan timbul pandangan yang menyebabkan situasi tidak berapa selesa untuk rakyat.”
“Pandangan beliau bersesuaian dengan akhlak berorganisasi dalam satu jamaah atau satu keluarga. Bila kita berada dalam sesuatu keluarga, maka janganlah sengaja timbulkan pandangan yang mengguris ahli keluarga.
“Kita mesti sentiasa menjaga semangat kekeluargaan, bukan kerap kali berusaha meruntuhkan kesatuan yang ada untuk agenda peribadi.
“Dalam suasana negara yang sukar sekarang ini, rakyat mahu kita fokus kepada kebajikan dan pembinaan ekonomi.
“Perkara yang mengusutkan suasana seharusnya simpanlah dulu. Jangan jadi agen merosakkan kestabilan politik negara.
“Keutamaan kita mestilah kestabilan dan kepentingan rakyat terbanyak. Bukan isu yang penting secara peribadi kepada lima enam orang saja,” katanya. – SM