Golongan muda perlu didedah dengan pengetahuan sebagai inovator – Raja Muda Perlis
24 Oktober 2024.
Kangar.
Golongan muda masa kini perlu diberikan pendedahan dengan kemahiran, peralatan dan bimbingan untuk menjadi inovator masa hadapan. Usaha ini secara tidak langsung dapat melahirkan anak muda yang mampu belajar, dilengkapi kemahiran dan dapat menyesuaikan diri dengan inovasi teknologi yang terkini.
Syarikat berkonsepkan ‘Startup’ kini telah berubah ke arah perniagaan yang lebih dinamik, produktif dah dilengkapi dengan teknologi perniagaan yang terkini. Syarikat-syarikat ini diuruskan dengan kadar efektif dan efisien yang lebih tinggi di setiap bahagian pengurusan sesuatu perniagaan yang bukan sahaja menguntungkan pemilik perniagaan malah menyumbang kepada mutu penghasilan produk atau servis dan juga dapat meningkatkan kepuasan pelanggan.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengadakan lawatan ke pusat operasi Steel Technica di Kampung Padang Behor, Kangar baru-baru ini.
Steel Technica merupakan sebuah perusahaan pembuatan Pisau dan Parang yang dibuat khas untuk memenuhi keperluan dengan prestasi yang konsisten melalui kaedah ‘handmade’ dan juga kaedah metalurgi teknikal.
Shaikh Ahmad Haikal Shaikh Rohmat yang merupakan pemilik perusahaan dari Perlis itu turut menyembah maklum taklimat berkenaan proses pembuatan alatan-alatan tersebut termasuk mereka bentuk, menempa, pemesinan, rawatan haba dan beberapa proses akhir lain sebelum siap sepenuhnya pisau dan parang tersebut.
Selain pembuatan pisau dan parang, Steel Technica juga menyediakan servis untuk mengasah parang dan alatan penyembelihan yang mendapat sambutan dan permintaan yang tinggi terutamanya ketika musim Hari Raya Aidiladha setiap tahun.