Nasional

GLC dan GLIC lancar misi pemulihan bersepadu bagi komuniti terkesan banjir di Sarawak

Susulan banjir kilat teruk yang melanda Malaysia Timur pada  awal bulan ini, komuniti di kawasan terjejas kini memasuki fasa pemulihan pasca banjir.

Dengan perkhidmatan asas dan infrastruktur yang memerlukan pemulihan segera, GLC Demi  Rakyat dan Negara (GDRN) tampil untuk menyediakan bantuan kemanusiaan bersasar.

Sebagai sebuah jaringan kedermawanan GLC dan GLIC, inisiatif ini telah menggerakkan  bantuan bernilai RM1.3 juta melalui penghantaran 5,000 Kit Keluarga Bantu GDRN.

Kit-kit ini  – yang mengandungi peralatan elektrik, tilam, tuala, dan kain sarung – akan diagihkan ke tiga  kawasan utama di Sarawak melalui pejabat-pejabat Residen bahagian: 2,500 kit telah tiba di  Bintulu, manakala 1,500 kit akan dihantar ke Miri dan 1,000 kit lagi ke Kuching.

Inisiatif  bantuan ini dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 20,000 individu, memberikan mereka  keperluan barang-barang isi rumah yang penting bagi membantu mereka membina semula  kehidupan mereka.

Pada 15 Februari 2025, satu Majlis Pelancaran (Flag Off Ceremony) telah diadakan di iSecure MASkargo, Sepang, Selangor. Acara ini menandakan pelancaran rasmi misi pemulihan GDRN  untuk Sarawak dan menekankan kerjasama erat antara semua pihak terlibat.

Majlis tersebut  dihadiri oleh wakil-wakil daripada 14 organisasi penyumbang, termasuk CIMB Foundation,  Khazanah Nasional, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP], Lembaga Tabung Haji  (TH), Malaysia Airports, MASkargo, MASkargo Logistics, Maybank Group, Permodalan Nasional  Berhad (PNB), Yayasan Hasanah, Yayasan PETRONAS, Yayasan Sime Darby, Yayasan Telekom,  dan Yayasan UEM.

Selaku tuan rumah, Ketua Operasi MASkargo bersama  MASkargo Logistics Sdn Bhd, Zulkefly Ujang, mengalu-alukan delegasi GDRN ke majlis pelancaran dan  menyatakan kesediaan menyokong keperluan pengangkutan ketika bencana.

Pemegang Amanah & Pengarah Urusan Yayasan Hasanah – sebuah yayasan milik Khazanah  Nasional – Pn. Siti Kamariah Ahmad Subki menyatakan:  “Pada hari kami menghantar misi bantuan kemanusiaan ini, marilah kita mengingati bahawa di  sebalik setiap bantuan, terdapat sebuah keluarga yang sedang berusaha membina semula  kehidupan, seorang anak yang berharap untuk kembali ke sekolah seperti biasa, dan sebuah  komuniti yang berjuang untuk bangkit semula.

“Beberapa minggu yang lalu telah membawa  kesan yang amat berat kepada ramai, tetapi dalam saat-saat sukar, belas ihsan dan tindakan  kolektif kitalah yang membawa perubahan terbesar.

“Usaha ini bukan sekadar menyampaikan  bantuan, tetapi ia juga mengembalikan maruah, menyemarakkan harapan, dan menunjukkan  kepada mereka yang terjejas bahawa mereka tidak bersendirian. Bersama, kita membina  semula kehidupan, selangkah demi selangkah.”

Pengarah Yayasan TM – sebuah yayasan Telekom Malaysia Berhad (TM),  Ainol Shaharina Sahar, menzahirkan penghargaan sumbangan ahli-ahli GDRN dalam ucapan ringkas beliau  sambil menekankan pentingnya memulihkan semangat dan menyumbang kepada komuniti.

Yayasan Hasanah dan Yayasan TM sebagai sekretariat bersama, mengkoordinasikan misi ini  dengan kerjasama Red A Humanitarian Development Global.

Turut menyokong misi ini adalah  Malaysia Airports yang mengatur cara keperluan operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa KL dan Kuching, manakala MASkargo pula membantu menguruskan perkhidmatan  pengangkutan dan logistik.

Misi ini turut mendapat sokongan padu daripada agensi utama seperti Agensi Pengurusan  Bencana Negara (NADMA), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) untuk  Sarawak, serta sukarelawan berdedikasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Majlis  ini juga dihadiri oleh Hussain Moh, Timbalan Ketua Pengarah NADMA, sekali gus  menegaskan kerjasama rapat agensi tersebut dengan GDRN dalam menyampaikan bantuan  dengan berkesan.

Pendekatan bersepadu GDRN terus menyokong komuniti di Sarawak dalam usaha pemulihan  mereka. Misi ini juga merupakan sebahagian daripada inisiatif sokongan Monsun Timur Laut di  seluruh Malaysia, di mana GDRN telah menyumbang RM24 juta bagi memperkukuh usaha  pemulihan pasca monsun di peringkat nasional.

Bantuan bencana memerlukan komitmen yang berterusan. Inisiatif ini menggalakkan organisasi dan individu untuk meneliti bagaimana mereka boleh menyumbang kepada  usaha seumpamanya, demi memastikan sokongan berterusan kepada komuniti yang  memerlukan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button