Berita

Geotapak Taman Eko Rimba Bukit Ayer Perlis berusia 485 juta tahun

Geotapak Taman Eko Rimba Bukit Ayer Perlis yang dianggarkan berusia 485 juta tahun bernilai tinggi dan sukar ditemui kawasan lain di Malaysia.

Ia terletak dalam kawasan Hutan Simpan Bukit Bintang dengan kawasan meliputi 3.72 hektar. Taman Eko Rimba Bukit Ayer (TERBA) ini adalah di bawah seliaan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis.

Taman ini merupakan tempat popular untuk aktiviti mandi-manda dan riadah utama penduduk Perlis selain Taman Eko Rimba Gua Kelam dan Pusat Rekreasi Bukit Jernih.

Keunikan tapak ini bukan sahaja terletak pada keindahan kawasan persekitaran dan sungai yang nyaman, tetapi ia juga merupakan geotapak yang mempunyai geologi struktur primer dan sekunder yang menjadikan geotapak ini unik dan layak mendapat tempat sebagai geotapak ‘travertine’ Sungai Batu Pahat.

Kajian yang dijalankan oleh Jabatan Mineral Dan Geosains Malaysia pada tahun 2019 melibatkan pemetaan terperinci geotapak ini telah mengumpulkan data untuk membolehkan pemuliharaan dan perkongsian maklumat secara umum dilakukan untuk manfaat bersama dengan pengesahan kehadiran ‘stromatolite’ dan ‘travertine’ di air terjun taman ini.

Daripada aspek pembangunan pula, taman ini telah dibangunkan tapak perkhemahan Nakawan Base Camp yang menyediakan kemudahan perkhemahan yang lengkap untuk pengunjung dalam dan luar negeri Perlis khususnya pengemar suasana alam semulajadi. Untuk menampung permintaan perkhemahan yang tinggi, Jabatan Perhutanan Negeri turut merancang untuk membangunkan tapak ‘Glamping’ serta membina ‘boardwalk’ untuk kemudahan pengunjung yang menggunakan denai hutan.

Demikian dipersembahmaklumkan oleh Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perlis, Ag. Shaffie Ag. Ahmadni kepada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam sesi ‘walking brief’ sempena keberangkatan baginda meninjau kemudahan yang terdapat di kawasan berkenaan baru-baru ini.

Hadir sama mengiringi baginda ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Azman Mohd Yusof, Penasihat Undang-Undang, Mohd Radhi Abas dan Pegawai Kewangan Negeri, Nasaruddin Abdul Muttalib.

Tambah Ag. Shaffie lagi, terdapat beberapa blok batu kapur mengandungi ‘stromatolite’ ditemui di sekitar kawasan geotapak ini. ‘Stromatolite’ ini berbentuk tabular dan boleh dijadikan tarikan para pengunjung dengan konsep geopelancongan bermaklumat. ‘Alga stromatolite’ ini terbentuk apabila bakteria yang dikenali sebagai ‘cynobacteria’ mengeluarkan mukus yang melekat pada sedimen bersama-sama kalsium karbonat (CaCO3) dan membentuk perlapisan-perlapisan baru.

Sempena keberangkatan tersebut kali ini Tuanku Raja Muda turut berkenan meluangkan masa singgah di Bukit Ayer Resort dan Rimba Herba Perlis selain dua lagi lokasi yang tidak beroperasi iaitu Pusat Rawatan Alternatif SPA dan Taman Primat Sg Batu Pahat Perlis.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button