Ekonomi

Generali dan UNDP Mengumumkan VSure Tech sebagai Pemenang “Dana Cabaran Inovasi Insurans”

VSure Tech menerima wang bernilai AS$40,000, selain bantuan teknikal untuk menyokong perkembangan idea mereka dan peluang untuk memanfaatkan kehadiran Generali dan UNDP di peringkat global.

Generali dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) telah mengumumkan VSure Tech sebagai pemenang “Dana Cabaran Inovasi Insurans” (IICF), sebuah inisiatif yang direka untuk memberikan insentif kepada pembangunan produk dan perkhidmatan insurans yang inovatif di Malaysia.

VSure Tech telah dipilih daripada lima penyelesaian yang dibentangkan pada bulan Mac lalu di Kuala Lumpur dalam acara yang dianjurkan oleh Generali dan UNDP. Usaha ini bertujuan untuk membina daya tahan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terhadap iklim dan risiko-risiko lain. 

Fabrice Benard, Ketua Pegawai Eksekutif Generali Insurance Malaysia Berhad dan Pengurus Besar bagi Entiti Generali di Malaysia menekankan bahawa Dana Cabaran Inovasi Insurans (IICF) mengutamakan visi bersama Generali dengan UNDP, iaitu untuk membina ketahanan dalam kalangan komuniti PKS di Malaysia.

“Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) membentuk 97.4% daripada keseluruhan perniagaan di Malaysia. Kami memainkan peranan yang penting dalam memacu keterangkuman kewangan, di samping memupuk budaya inovasi dan kelestarian bagi menjamin masa depan perusahaan mereka. Bersama-sama UNDP, kami ingin mengucapkan tahniah kepada semua peserta atas idea-idea inovatif mereka,” tambah Fabrice.  

“Kami berasa bertuah dan amat berbesar hati kerana diberikan peluang untuk bekerjasama melaksanakan inisiatif yang sangat berkesan ini bagi memperkasakan PKS dan PMKS demi membina daya ketahanan kewangan yang lebih kukuh di samping menggalakkan celik kewangan yang penting,” kata Eddy Wong, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan VSure Group.

Vsure Tech merupakan peneraju dalam teknologi insurans (Insurtech) dan Pasaran Insurans Digital, yang mencipta penyelesaian untuk meningkatkan perlindungan dan ketahanan terhadap risiko dalam kalangan perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) di Malaysia melalui model perniagaan risiko bersama P2P (rakan-ke-rakan). Mereka menawarkan platform komersial digital sepenuhnya untuk insurans mikro yang mampu milik dan mudah diakses.

Dana Cabaran Inovasi Insurans (IICF) diwujudkan untuk mengenal pasti penyelesaian inovatif yang fokus pada pencegahan risiko, pendidikan kewangan, dan perlindungan. Matlamatnya adalah untuk melengkapi tawaran insurans dengan strategi yang memperbaik pengagihan dan akses kepada perkhidmatan asas untuk komuniti sasaran, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. 

Inisiatif ini dibina melalui kerjasama antara Generali dengan Fasiliti Insurans dan Kewangan Risiko UNDP, yang bertujuan untuk mengurangkan jurang perlindungan bagi komuniti rentan dengan meningkatkan akses kepada insurans. Inisiatif ini juga menekankan komitmen untuk memupuk kesedaran dan mempromosikan peranan insurans dalam memperkukuh keselamatan, kemampanan, dan ketahanan, khususnya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara-negara membangun.

Dipilih melalui proses terbuka oleh jawatankuasa IICF, Vsure Tech dianugerahkan sokongan kewangan bernilai AS$40,000 daripada UNDP, di samping bantuan teknikal bagi mengembangkan lagi penyelesaian inovatif mereka. Mereka juga memperoleh peluang untuk memanfaatkan kehadiran Generali dan UNDP di peringkat global.

Untuk maklumat lanjut, sila lawati https://irff.undp.org/challenge-fund/malaysia.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

shahrin

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button