‘Gayat’ dengan pengiktirafan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik FFM-32 – Beto Kusyairy
Sebut sahaja nama Beto Kusyairy, pasti watak Wahid yang dipegang beliau menerusi filem Mat Kilau arahan Syamsul Yusof meninggalkan kesan yang membekas di hati para penonton.
Lantaran itu juga, siapa sangka menerusi watak Wahid, kredibiliti Beto Kusyairy sebagai pelakon dan penggiat seni menerima pengiktirafan tertinggi dalam Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-32.
“Terima kasih #FFM32 & FINAS Malaysia. Syukur, Alhamdulillah, walau gayat juga atas pengiktirafan setinggi ini.
“Ampun maaf kepada pihak festival kerana tak dapat bersama2 meraya & meraikan dek kekangan masa serta tanggungjawab sedia ada,” kongsi Beto.
Bagi Beto, pengiktirafan ke atasnya dalam FFM-32 adalah bersangkut paut dengan filem Mat Kilau serta seluruh warga penerbitannya.
“Kepada seluruh warga penerbitan #filemMatKilau terutama sang nakhoda Syamsul Yusof yang jerih perihnya aku tak boleh pertikai, ini adalah hasil daripada kerja keras hempas pulas kau juga.
“Terima kasih kepada yang menyokong. Terus semarakkan filem kita melalui cara yang betul. Tinggalkan tontonan cetak rompak khususnya filem-filem tempatan melalui telegram atau mana-mana platform yang tidak sah,” ujarnya.
Dalam masa sama, Beto berpandangan pengiktirafan sedemikian ke atas pelakon serta penggiat seni memberikan impak yang cukup bagus.
“Sekecil inisiatif sebegini memberi impak besar kepada kami selaku penggiat untuk memartabatkan filem kita.
“Semoga filem kita menjadi lebih baik di masa akan datang dari segala sudut selain menginspirasi antara satu sama lain berkat dari sokongan & doa kalian..insyaAllah,” katanya.
Dalam status yang dimuat naik menerusi Facebook itu, Beto sempat memetik kata arwah Yasmin Ahmad yang berbunyi: “Do work not for awards. Do it honestly.”