Nasional

Gara-Gara Tak Tutup Suis Utama, Mesin Bancuh Simen Berpusing Dengan Sendirinya!

Lelaki maut selepas mesin pengadun membancuh simen yang sedang dibersihkan hidup secara tiba-tiba di sebuah kilang membuat mozek di Taman Perindustrian Nusa Cemerlang, Industrial Park, Nusajaya.

Mangsa, Fenddy Asim, 19, baru enam bulan bekerja sebagai operator di kilang berkenaan.

Ketua Polis daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian berlaku pada 11.30 pagi.

“Ketika itu remaja terbabit sedang tunduk membersihkan bahagian dalam mesin pengadun, namun secara tiba-tiba mesin berkenaan berputar menyebabkan kepala dan bahu mangsa terkena mesin.

“Rakan sekerja terus mematikan suis mesin berkenaan, dan memanggil rakan sekerja lain untuk mengeluarkan mangsa dari dalam mesin itu.

“Mangsa didapati berlumuran darah di bahagian telinga dan kepala, sebelum dibawa ke sebuah klinik Taman Nusa Perintis, Gelang Patah.

“Namun, doktor mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dzulkhairi berkata, siasatan awal tidak menjumpai sebarang kesan jenayah di kawasan tempat kejadian.

“Mangsa dikatakan cuba membersihkan mesin bancuh simen untuk membuat mozek tanpa menutup suis utama mesin terlebih dahulu menyebabkannya berpusing secara tiba-tiba,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk ujian saringan Covid-19 sebelum proses bedah siasat dijalankan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button