Gara-Gara Jalan Tol Sesak, Idea Bekerja Dari Rumah Lebih Praktikal Untuk Diulang!
Dalam tempoh 48 jam, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) sampai menutup semula ruangan komen di laman Facebook (FB) rasminya selepas ramai pengguna lebuh raya meluahkan tidak puas hati.
Hal ini demikian kerana penggunaan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) difikirkan mampu selesaikan masalah kesesakan kerana pengguna tidak perlu berhenti untuk Touch ‘n Go.
Namun sebaliknya apabila sistem RFID secara tiba-tiba menjadi leceh dan banyak kelemahan seperti gagal mengesan pelekat yang sudah ditampal pada kenderaan.
Padahal pada zaman awal RFID diperkenalkan, sistem ini diakui bagus kerana pengguna yang menghadapi masalah tingkap rosaknya misalnya, tidak perlu susahkan diri untuk buka pintu.
Hari ini negara menyaksikan satu kemaluan besar PLUS dalam pengurusan isu RFID dan tindakan menutup ruangan komen dianggap sebagai bacul dan tidak professional.
Dalam satu tinjauan Suara Merdeka, seorang pengguna tol, Nurikmal Husin, 43, memaklumkan kesesakan yang berlaku kali ini agak luar biasa ibarat orang hendak pulang beraya.
“Sedangkan kita cuma nak masuk pejabat dan pada waktu seperti ini biasanya (7.00 – 10.00 pagi), trafik lancar sahaja tetapi setelah RFID diperkenalkan, stress pula rasanya.
“Ada baiknya kerajaan galakkan majikan arah pekerja untuk bekerja dari rumah seperti pada zaman pandemik Covid-19 sedang menggila,” katanya.
Sementara itu, pekerja swasta, Halim Lasim Kamaruzzaman, 38, bersetuju dengan cadangan bekerja dari rumah difikirkan semula memandangkan memang tidak berbaloi untuk buang masa atas jalan.
“Bekerja dari rumah bukan hanya sebabkan minyak kereta dapat dijimatkan, masa atas jalan dapat dikurangkan, rasa geram tersangkut dalam kesesakan pun boleh dihapuskan.
“Malah dari segi tekanan mental dan perasaan, ia dapat dikawal dan saya rasa ketika itu saya rasa hidup sangat bahagia berbanding terpaksa berdepan dengan situasi kesesakan seperti hari ini,” katanya.