Nasional
Fungsi, tugas, objektif dan matlamat J-KOM diselaras semula
FUNGSI, tugas, objektif dan matlamat Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) yang kini di bawah seliaan Kementerian Komunikasi akan diselaras semula.
Memetik laporan BERNAMA, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, yang juga Jurucakap Kerajaan, berkata walaupun proses itu dijangka mengambil masa namun ia perlu dilakukan agar menepati objektif yang ingin dicapai oleh Kerajaan Perpaduan.
Katanya, perlu ada penyesuaian beberapa fungsi dan tugas yang selaras dengan hasrat Kerajaan MADANI untuk dilaksanakan oleh agensi termasuk J-KOM.
Beliau mengulas syor Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Mohd Puad Zarkashi agar jabatan itu dirombak dan dipimpin oleh individu yang kompeten susulan dakwaan Timbalan Ketua Pengarah J-KOM Datuk Ismail Yusop mengenai ‘Langkah Dubai’ yang dikatakan adalah gerakan bagi menumbangkan Kerajaan Perpaduan.
Jabatan itu yang ditubuh pada 1 Feb 2021, sebelum ini di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri serta memainkan peranan mewujudkan komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat. – SM